. SAUDARA mara dan orang ramai mengusung jenazah Yusoff ke Tanah Perkuburan Masjid Al- Bukhari Alor Setar. FOTO Rahmat Othman
. SAUDARA mara dan orang ramai mengusung jenazah Yusoff ke Tanah Perkuburan Masjid Al- Bukhari Alor Setar. FOTO Rahmat Othman
Izzali Ismail


Alor Setar: Jenazah bekas penjaga gol kebangsaan era 50-an, Datuk Yusoff Abu Bakar, 81, juga lebih dikenali sebagai ‘Iron Gate’ selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al- Bukhari, di sini, jam 11.20 pagi tadi.

Terdahulu, solat jenazah disempurnakan di Masjid Al-Bukhari sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan.

Selain ahli keluarga terdekat upacara pengebumian turut dihadiri Pengarah Penjara Negeri Kedah, Ahmad Fauzi Awang serta wakil dari Penjara Alor Setar, Penjara Pokok Sena dan Penjara Sungai Petani.

Allahyarham meninggal dunia kerana sakit tua jam 6.15 petang semalam di Hospital Sultanah Bahiyyah Alor Setar Kedah.

Anak lelaki arwah, Yuzaily Yusoff,48, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian ayahnya yang dimasukkan ke hospital sejak 6 September lalu, selepas kurang selera makan hampir seminggu.

"Jasa dan pengorbanan arwah akan terus diingat dan terpahat dalam lipatan sejarah bola sepak negara dan akan menjadi inspirasi untuk generasi akan datang.

"Terima kasih kepada semua yang hadir termasuk pihak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang banyak membantu, Jabatan Penjara Negeri Kedah, rakan arwah yang hadir serta pihak media yang menyalurkan berita berkaitan arwah ketika hayatnya," katanya ditemui.

Yusoff yang pernah menjawat jawatan Pengarah Penjara Alor Setar, mempunyai seorang anak lelaki dan dua anak perempuan. Antara rekod cemerlang beliau ialah ketika mewakili Malaysia menjuarai Pesta Bola Merdeka 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 1:42 PM