Kuala Lumpur: Kesemua wakil negara di Masters Indonesia mempamer aksi cemerlang di suku akhir semalam apabila mara ke separuh akhir, hari ini.

Gandingan beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meneruskan rentak konsisten mereka apabila menewaskan wakil tuan rumah Lukhi Apri Nugroho-Ririn Amelia 21-8, 21-14.

Beregu campuran kedua negara itu kini dalam laluan tepat untuk meraih gelaran kedua di pentas antarabangsa pada tahun ini.

“Perlawanan hari ini (semalam) tidak terlalu sukar seperti yang kami jangkakan.

“Saya rasa mungkin lawan berasa letih kerana mereka tidak memberi tentangan sengit. Mereka juga sering melakukan kesilapan,” kata Pei Jing.

Pei Jing-Kian Meng akan bertemu pilihan ketiga kejohanan Edi Subaktiar-Richi Puspita Dili hari ini.

Turut mencuri tumpuan pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei (gambar) yang menewaskan wakil China Gao Fangjie 21-16, 21-18.

Jin Wei yang belum pernah memenangi kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas, akan bertemu pilihan kedua kejohanan Nitchaon Jindapol dari Thailand hari ini untuk perebutan tiket final.

Beregu lelaki negara Chooi Kah Ming-Low Juan Shen mempamer semangat melawan sebelum dapat menewaskan pilihan keempat Hardianto Hardianto-Kenas Adi Haryanto 15-21, 21-15, 21-18.

Mereka bakal membuat perhitungan dengan Han Chengkai-Zhou Haodong dari China, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 7:47 AM