Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei (gambar) berada pada landasan terbaik untuk melakar sejarah tersendiri apabila kali pertama mara ke suku akhir kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas di Masters Indonesia semalam.

Jin Wei yang diletakkan sebagai pilihan kelapan tidak berdepan masalah mengalahkan wakil tuan rumah, Desandha Vegarani Putri 21-17, 21-10 di Gedung Dome, Balikpapan.

Menanti Jin Wei di suku akhir pemain China, Gao Fangjie yang sebelum itu menumpaskan Liang Xiaoyu dari Singapura, 11-21, 21-17, 21-15.

“Pada set pertama ia memang sengit, kami saling mengejar antara satu sama lain sehingga mata ke-15. Saya begitu bernasib baik kerana berjaya mengawal perasaan gementar untuk menang,” kata pemain berusia 16 tahun itu.

Jelasnya, pada set kedua dia mengakui tidak mendapat tentangan sukar apabila melihat lawannya juga sudah mula berasa kurang bersemangat.

“Menjelang pertemuan esok (hari ini) saya akan turun dengan aksi dan fikiran sama. Saya akan memberikan segala-galanya,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Turut mara ke suku akhir beregu lelaki negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen apabila mengetepikan wakil tuan rumah, Yohanes Rendy Sugiarto-Afiat Yuris Wirawan 21-15, 16-21, 21-13.

Mereka akan bertemu pilihan keempat dari Indonesia, Hardianto Hardianto-Kenas Adi Haryanto yang sebelum itu mengalahkan satu lagi pasangan negara, Lim Khim Wah-Ong Jian Guo 21-13, 21-15.

Pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga ke suku akhir apabila mengalahkan wakil tuan rumah, Afiat Yuris Wirawan-Nadya Melati 18-21, 22-20, 21-16 dan akan berdepan Lukhi Apri Nugroho-Ririn Amelia juga dari Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 8:44 AM