LATAR hijau landskap yang menawarkan panorama segar semula jadi.
LATAR hijau landskap yang menawarkan panorama segar semula jadi.
SENI bina tradisional digabungkan dengan landskap hijau.
SENI bina tradisional digabungkan dengan landskap hijau.
KELADI rusa dan rimbunan hijau ini menambahkan suasana semula jadi di ruang santai.
KELADI rusa dan rimbunan hijau ini menambahkan suasana semula jadi di ruang santai.
MATA terpukau dengan ikan koi bukan situasi pelik apabila anda berada di ruang santai.
MATA terpukau dengan ikan koi bukan situasi pelik apabila anda berada di ruang santai.
RUANG santai ini menjanjikan ketenangan sepanjang masa.
RUANG santai ini menjanjikan ketenangan sepanjang masa.
HIASAN ringkas bersebelahan landskap hijau.
HIASAN ringkas bersebelahan landskap hijau.
DI sudut mana pun tanaman hijau tetap menarik perhatian.
DI sudut mana pun tanaman hijau tetap menarik perhatian.
KAMARIAH banyak menghabiskan masa di ruang santai.
KAMARIAH banyak menghabiskan masa di ruang santai.
Hartini Mohd Nawi


Biarpun pertama kali bertandang, suasana privasi sudah dapat dinikmati sebaik berada di ruang santai ini.

Paduan semua elemen penting dalam landskap turut menjadikan penataan serba semula jadi di sekitarnya seolah-olah berada di taman indah menyejukkan pandangan.

Segalanya ada di ruang santai kediaman milik pasangan Kamariah Juleh, 59, dan Azmi Tan Mat Ali, 60, di Hulu Langat, Selangor ini.

“Banyak masa kami habiskan di sini. Tidak kira waktu ia tetap memberikan seribu satu ketenangan.

“Mana-mana tetamu sekali pun lebih selesa berada di ruang ini. Kadang-kadang ia menjadi tempat kami menjamu selera terutama ketika anak cucu berkumpul,” kata Kamariah yang juga pesara kerajaan itu.

Tidak dinafikan, kolam ikan koi yang dibina pada sudut tepi bersambung dengan bahagian depan ruang menjadi tatapan mata.

Sesekali ikan koi yang gemar bergerak secara berkumpulan itu benar-benar membuatkan mata terpukau.

Privasi dan ketenangan lebih menggamit rasa dengan kehijauan pelbagai jenis tanaman.

Di kiri, kanan dan depan ruang santai itu deretan pokok termasuk paku pakis, keladi rusa dan heliconia atau sepit udang nyata menambah variasi kehijauan di situ.

“Tidak hanya inginkan suasana redup, nyaman dan tenang sepanjang masa kerana landskap semula jadi ini bagaikan menjadi satu terapi.

“Apatah lagi pilihan tanaman hijau yang tahan lasak dan tidak memerlukan penjagaan rapi membuatkan penyelenggaraan juga mudah,” kata Kamariah yang mula membina ruang santai itu pada tahun 2002.

Beliau berkata awalnya, ada yang kurang yakin dengan reka bentuk dan fungsi ruang itu apabila kedudukan pintu gelungsur berada di bahagian tepi bukannya depan seperti kebiasaannya.

Namun sebaik landskap mula menghijau segar dengan kehadiran kolam ikan koi, keunikan ruang itu mula menjadi bualan keluarga atau tetamu.

Pada sudut yang ada diletakkan kerusi dan meja kayu santai bagi memudahkan aktiviti di situ.

“Ada juga yang ingin tahu ‘resipi’ mencipta taman semula jadi. Padahal bagi kami, latar landskap ini hanya biasa-biasa sekadar memberikan privasi dan ketenangan.

“Cuma idea mengunjungi pelbagai tempat yang menawarkan landskap menarik cuba kami ketengahkan pada ruang sekangkang kera ini,” kata Kamariah.

Hakikatnya, latar hijau tidak hanya berada di ruang santai kerana segenap laman kediaman itu menawarkan keunikan tersendiri.

Tersergam indah binaan rumah pusaka dengan seni bina tradisional Melayu yang kemudian diperkemaskan sebaik mungkin supaya tidak lapuk ditelan zaman.

Landskap indah di bahagian depan laman juga tidak kurang menariknya dengan hamparan segar rumput dan pelbagai jenis bunga-bungaan.

“Bagi mengekalkan aura seni bina tradisional kediaman ini ia seharusnya dilengkapi dengan landskap yang selesa di mata kita.

“Sekurang-kurangnya ia antara usaha meningkatkan kesedaran pentingnya kehijauan dan semula jadi dalam kalangan anak cucu dan generasi akan datang,” kata Kamariah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:05 AM