PENUMPANG diarah mengosongkan terminal satu lapangan terbang Frankfurt atas tujuan keselamatan. - AFP
PENUMPANG diarah mengosongkan terminal satu lapangan terbang Frankfurt atas tujuan keselamatan. - AFP

Frankfurt: Hanya kerana salah faham, Terminal Satu lapangan terbang Frankfurt terpaksa dikosongkan berikutan pencerobohan keselamatan menyebabkan penangguhan serta pembatalan penerbangan di lapangan terbang keempat terbesar Eropah itu.

Seorang wanita yang difahamkan membawa dua anak bersamanya dilaporkan termasuk ke balai berlepas tanpa melalui pemeriksaan keselamatan.

Jurucakap polis berkata: “Sebenarnya hasil siasatan awal menunjukkan kejadian itu sekadar satu salah faham.

“Pihak kami juga tidak menemui barangan yang boleh menimbulkan syak di kawasan pelepasan susulan kawasan itu dikosongkan.”

Kejadian itu mengakibatkan gangguan teruk terhadap operasi penerbangan, malah ada pesawat terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain di Jerman.

Pengendali lapangan terbang, Fraport berkata, kira-kira 100 penerbangan dibatalkan akibat kejadian itu. Operasi di terminal disambungkan semula pada jam 10.30 pagi (waktu tempatan) dengan semua penumpang terpaksa melalui pemeriksaan keselamatan sekali lagi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 10:17 AM