AFP

Rio de Janeiro: Margarita Mamun (gambar) meneruskan dominasi Russia dalam acara gimnastik berirama dengan merangkul emas Olimpik individu keseluruhan di Rio semalam.

Atlet berusia 20 tahun dari Moscow itu meraih emas dengan mengetepikan cabaran rakan senegara yang juga juara dunia Yana Kudryavtseva dengan Ganna Rizatdinova dari Ukraine membawa pulang gangsa di Rio Olympic Arena.

Ia kejayaan kali kelima Russia dalam acara itu sejak Sydney 2000.

Cabaran Yana yang juga juara dunia tiga kali berakhir selepas dia menjatuhkan belantan ketika melakukan tiga daripada empat putaran.

“Sungguh di luar jangkaan. Saya tidak sangka menang emas kerana selalunya Yana akan menang,” kata Margarita yang ayahnya berketurunan Benggali manakala ibunya dari Russia.

“Saya sangat terkejut kerana Yana melakukan kesilapan seperti itu kerana dia selalunya sangat fokus dan tenang, tidak pernah gugup.

“Kerana itu saya tidak terfikir menang emas. Mungkin ia sudah ditakdirkan.”

Yana, 23, mendahului dalam dua aparatus awal - bola dan gelung - dan cuba bangkit menerusi riben.

“Kadang-kala pada akhir rutin, saya terlalu santai. Saya fikir sudah bersedia tapi sebenarnya tidak.

“Itulah yang berlaku hari ini (semalam),” kata Yana.

“Di akhir rutin (belantan), saya sedar tidak akan memenangi emas. Kerana itu emosi saya bercampur memikirkan diri sendiri, jurulatih dan penyokong. Saya mahu berikan mereka persembahan baik.”

Margarita - diberi gelaran Harimau Bengal - mengutip 76.483 mata dengan Yana juara dunia 2013, 2014 dan 2015 (75.608) manakala Ganna (73.583).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:07 AM