2AM
2AM
Amirul Haswendy Ashari.


Walaupun kini Jeong Jinwoon aktif menyanyi secara solo, dia juga tidak pernah lupa perancangan bersama kumpulannya, 2AM.

Ketika muncul dalam program radio KBS, Cool FM, Park Mung Soo’s Radio Show pada 5 Ogos lalu, Jinwoon turut bercerita mengenai masa depan 2AM.

Katanya, mereka merancang menghasilkan album dan kini sibuk dengan persiapan itu.

“Jo Kwin Hyung sudah kurangkan pembabitan di depan TV dan banyak menghasilkan muzik manakala Seulong Hyung pula baru saja memulakan bisnes pub.

“Ada studio di atas pub itu dan kami selalu berjumpa di sana untuk bercakap mengenai album 2AM. Saya fikir bagus juga jika semua dapat turut serta penghasilan album itu,” katanya.

Bagaimanapun pada 19 Ogos lalu, Jinwoon melalui kenyataan lain seolah bakal mengecewakan peminatnya. Dia mendedahkan atau lebih tepat menggambarkan kemungkinan besar kumpulan yang ditubuhkan sejak 2008 itu akan dibubarkan.

Pendedahan Jinwoon itu sebenarnya berdasarkan beberapa perkembangan lalu oleh setiap anggota kumpulan.

Buat peminat mereka, situasi pertama ialah sewaktu idol berusia 25 tahun itu enggan menyambung kontrak bersama JYP Entertainment yang tamat pada Mac 2015.

Kemudian dalam temuramah bersama Korea’s Daily Sports, Jinwoon ditanya mengenai kebarangkalian anggota 2AM lain seperti Jo Kwan, Lee Changmin, Lim Seulong dan dia ada berbincang untuk kekal bawah satu agensi.

“Kami ada bercakap mengenainya. Namun, pilihan muzik kami berbeza dan sebab itu juga kami berpindah ke label yang berbeza.

“Walaupun kami tidak pernah suarakannya dengan jelas, kami terfikir bahawa tidak akan ada satu pun agensi yang dapat penuhi pilihan muzik masing-masing,” katanya.

Menurutnya, dia mahu peminat tahu tidak ada 0.1 peratus pun ruang perbincangan mereka mengenai pembubaran 2AM namun kemungkinan itu tetap ada.

Katanya, disebabkan mereka adalah kumpulan vokal, selagi ada muzik, mereka sentiasa akan lahirkan album.

Dia berharap pihak agensi masing-masing dapat membantu melancarkan perjalanan kerjaya mereka sebab keupayaan 2AM menghasilkan album bergantung kepada agensi mereka.

Biarpun pelbagai reaksi diterima termasuk kenyataan media terdahulu, kesahihan mengenai usaha ‘comeback’ 2AM masih belum terjawab.

Bagaimanapun, Jinwoon, Seulong, Changmin dan Jo Kwon dilihat bersatu untuk sebuah aplikasi penyiaran, Homecoming Day pada 10 Julai lalu.

Bagi meraikan ulang tahun kelapan mereka, empat selebriti itu sentiasa memberi kisah terbaru mengenai aktiviti solo mereka.

Setakat ini hanya Jo Kwon, 26, yang masih kekal bersama JYP Entertainment manakala tiga anggota lagi berada bawah agensi lain.

Jinwoon mula terjun ke bidang lakonan melalui drama Dream High Musim kedua (2012) dan berada bawah pengurusan Mystic Entertainment.

Terbaru, dia memegang watak Choi Seung-Chan untuk drama terbitan JTBC, Madame Antoine. Drama 16 episod itu bersiaran pada 22 Januari sehingga 12 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:04 AM