Tuan Asri Tuan Hussein

“Kenapa tak ramai yang kibar Jalur Gemilang macam dulu?” Itu soalan popular yang kerap singgah di telinga saya setiap kali ada perbualan mengenai sambutan Hari Kebangsaan 2016 yang tinggal cuma 11 hari lagi.

Persoalan serupa turut dibincangkan ketika sesi taklimat kepada media mengenai pelbagai acara sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman di Putrajaya, minggu lalu.

Menurut Ibrahim, pihaknya sudah melakukan apa yang terdaya supaya sambutan Hari Kebangsaan kali ini membabitkan semua pihak dan pelbagai lapisan masyarakat.

Kata beliau, tidak seharusnya wujud unsur paksaan kerana setiap warga Malaysia sepatutnya sedar peranan serta tanggungjawab mereka dan melakukannya secara sukarela.

“Kita boleh membawa kuda ke tasik tapi tak boleh nak memaksanya minum air,” kata Ibrahim memberi analogi betapa peranan pihaknya terbatas, sebaliknya semangat patriotik di dalam sanubari setiap warga Malaysia harus dizahirkan secara ikhlas.

Masih saya ingat pada 1990-an, dalam kalangan saya dan rakan-rakan, sesiapa yang tidak memasang bendera kecil di kenderaan berasa bersalah kerana majoriti berbuat demikian.

Sejujurnya, saya sendiri tidak mempunyai jawapan mutlak kenapa suasana sebegitu sudah tidak wujud lagi pada masa ini.

Kenapa rakyat Malaysia sekarang cukup liat untuk mengibarkan bendera Malaysia di kenderaan atau rumah masing-masing, sebagaimana pada 1990-an.

Kini, bukan tidak ada langsung yang mengibarkan Jalur Gemilang baik pada kenderaan atau rumah. Memang ada, tapi jumlahnya amat kurang berbanding dulu.

Kibaran Jalur Gemilang hanya ketara di bangunan pejabat kerajaan dan swasta manakala aktiviti berkaitan Hari Kebangsaan juga kebanyakannya dianjurkan organisasi kerajaan.

Rakan yang biasa berkunjung ke negara jiran seperti Indonesia dan Thailand pula memberitahu kibaran bendera kebangsaan ketika musim sambutan hari ulang tahun kemerdekaan di dua negara itu teramat meriah.

Baik di ceruk kampung, mahupun rumah setinggan di pinggir pusat bandar, kibaran bendera kebangsaan tetap gah kelihatan. Amat jauh bezanya dengan keadaan di negara kita.

Senario ini menimbulkan persoalan kepada saya, adakah semangat patriotik rakyat Malaysia sudah semakin dingin? Tidak semestinya. Ini kerana, tidak mengibarkan Jalur Gemilang tidak bermakna seseorang itu tidak patriotik.

Dalam mencongak-congak pelbagai kemungkinan untuk menebak jawapan, sekonyong-konyong saya diberi petunjuk untuk mengukur atau menilai tahap patriotisme rakyat Malaysia.

Ia terzahir secara semula jadi dan spontan susulan persembahan cemerlang atlit kita yang beraksi di Sukan Olimpik di Rio Janeiro, Brazil.

Apabila ada atlit negara yang beraksi di Rio mara ke pusingan separuh akhir dan akhir atau berpotensi meraih pingat, sokongan dari seluruh rakyat Malaysia di tanah air amat padu.

Ramai berbondong-bondong hadir ke lokasi tertentu untuk menyaksikan siaran televisyen secara langsung di skrin gergasi manakala di laman sosial Internet pula, kata-kata semangat dan perangsang tidak putus-putus dititipkan.

Malah, ada akhbar yang menjadi sasaran kecaman apabila meletak judul berita yang dianggap negatif susulan kegagalan pasangan beregu badminton negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying menghadiahkan pingat emas sulung negara, Rabu lalu.

Justeru, terbukti betapa semangat patriotik dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia sebenarnya masih utuh, cuma ia sebenarnya tersembunyi dan mungkin agak eksklusif statusnya.

Saya percaya, pembaca ada pendapat tersendiri sama ada untuk bersetuju atau tidak dengan kenyataan saya ini. Juga, untuk menilai adakah semangat patriotisme yang tersembunyi ini sesuatu wajar atau sebaliknya.

Apapun, memetik kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengenai maksud sebenarnya patriotisme harus difahami dan dihayati sepenuhnya.

Kata beliau, semangat patriotisme bukanlah sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyi lagu kebangsaan Negaraku dan berikrar taat setia terhadap Rukun Negara, sebaliknya ia merangkumi pelbagai perkara termasuk mempertahan keharmonian masyarakat.

Katanya, setiap warga Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk melindungi keharmonian masyarakat di negara ini. Itu yang lebih utama.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:20 AM