ZAWATI mahu jadi inspirasi kepada insan istimewa lain.
ZAWATI mahu jadi inspirasi kepada insan istimewa lain.
KEPETAHAN Zawati merancakkan sesi pembelajaran.
KEPETAHAN Zawati merancakkan sesi pembelajaran.
MOHON restu suami setiap pagi sebelum memulakan tugas.
MOHON restu suami setiap pagi sebelum memulakan tugas.
SUAMI, Mohammad raikan saat berharga ketika Zawati menerima Anugerah Guru Kelainan Upaya Cemerlang.
SUAMI, Mohammad raikan saat berharga ketika Zawati menerima Anugerah Guru Kelainan Upaya Cemerlang.
Rosliza Mohamed


Seawal jam 5 pagi, wanita ini sudah bangun untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada Maha Pencipta dan menyiapkan keperluan keluarga sebelum keluar bekerja.

Tugasnya sebagai pendidik bukan kerja boleh dipandang enteng, sebaliknya Zawati Yusoff, 46, sentiasa memastikan dia dapat melakukan yang terbaik untuk anak muridnya.

Dikurniakan Allah SWT sebagai insan kurang upaya (OKU) kerdil, dia bukan wanita biasa sebaliknya terlalu istimewa hingga ramai yang mengaguminya.

Rutin harian wanita ini berlangsung seperti wanita berkerjaya normal yang lain, malah tidak pernah sekali pun dia berasa kekurangan atau terbeban.

Hakikat itu menjadikan dia penerima Guru Kelainan Upaya Cemerlang Peringkat Kelantan selama dua tahun iaitu pada 2010 dan 2015.

“Sebagai guru OKU, saya mahu jadikan diri sebagai inspirasi kepada semua golongan terutama pelajar istimewa. Saya mahu beritahu mereka, golongan seperti kami juga boleh berjaya.

“Apa yang penting ialah kesungguhan dan keinginan untuk terus menuntut ilmu demi cita-cita serta kemajuan diri.

“Saya tidak pernah menjadikan kecacatan sebagai penghalang melakukan aktiviti atau mengejar impian sebagai pendidik berjaya, justeru saya tonjolkannya dalam rutin seharian supaya ia boleh menjadi pedoman kepada golongan senasib,” katanya yang mengajar subjek Pendidikan Khas dan Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Panji.

Bersyukur dijodohkan dengan suami Mohammad Zainuddin Derhaman, 40, yang sangat memahami, anak jati Kota Bharu itu memberitahu, mereka berdua saling melengkapi antara satu sama lain.

Fizikal Mohammad Zainuddin juga tiada beza dengan dirinya menjadikan mereka pasangan secocok dan dikagumi masyarakat setempat.

“Suami saya juga seorang guru OKU dan mengajar di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Tarbiah Mardiah Panchor, Kemumin sejak 2008.

“Perkahwinan kami dikurniakan seorang anak, Mohammad Abdul Hanan yang kini berusia dua tahun. Setiap pagi, suami menghantar saya ke sekolah yang jaraknya dua kilometer dari rumah kami di Kampung Chekok.

“Dia juga yang mengambil saya selepas habis sekolah dan anak di rumah pengasuh,” katanya yang memberitahu mereka saling berkongsi cerita dan masalah.

Pasangan itu juga akan menyambut ulang tahun perkahwinan ke-8 Ogos depan dan mengharapkan mahligai mereka kekal hingga ke akhir hayat.

Dia akui, berkongsi kerjaya yang sama memudahkan mereka menguruskan rumah tangga selain membantu untuk lebih memahami tuntutan tugas masing-masing. Malah mereka juga saling memberi dorongan untuk sama-sama memberikan khidmat terbaik dan menjadi guru cemerlang.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana suami banyak membantu dan memberi sokongan selama ini. Saya berdoa semoga perkahwinan ini kekal ke akhir hayat.

“Dilahirkan dalam keadaan begini tidak langsung mematahkan semangat saya untuk berjaya dalam kehidupan dan berjuang demi bangsa dan negara. Berpeluang menjadi teladan dan mendapat pengiktirafan secara tidak langsung menguatkan semangat untuk berbakti,” katanya.

Di sekolah dia turut bertugas sebagai guru pengiring untuk aktiviti olahraga seperti boling, perkhemahan, motivasi, kokurikulum, kelab pendidikan khas dan sukaneka.

Selain itu, dia juga diberi kepercayaan menjadi pengurus program ibadat membabitkan pelajar pendidikan khas menerusi kem solat dan Ihya Ramadan.

“Pada sebelah malam pula saya mengajar al-Quran untuk anak jiran yang datang ke rumah dengan bantuan suami,” katanya yang terbabit dalam persatuan OKU dan Yayasan Orang Kelainan Upaya Kelantan (YOKUK).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:48 AM