BERSAMA pelanggan yang berkunjung ke kedainya.
BERSAMA pelanggan yang berkunjung ke kedainya.
TEKUN ketika melaksanakan tugas.
TEKUN ketika melaksanakan tugas.
KEDAI yang diusahakan Hazarina.
KEDAI yang diusahakan Hazarina.
HAZARINA bersama suami dan anak tersayang.
HAZARINA bersama suami dan anak tersayang.
Siti Nadirah Hafidzin

Memiliki kelembutan semula jadi tatkala bertutur dan berpersonaliti menarik membuatkan hati teruja tatkala pertemuan diatur dengan wanita bersifat keibuan ini.

Niat asalnya hanya untuk menambah pengetahuan mengenai kaedah penjagaan kesihatan diri, kecantikan dan penyusuan bayi namun segalanya berubah apabila ia menjadi detik permulaan buat wanita berjiwa kental ini mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Tanpa disangka, usaha Hazarina Ishak, 36, yang sering berkongsi idea di laman forum ibu dan bayi menyebabkan dia mula melangkah ke dunia perniagaan dan bergelar seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya sehingga kini.

Menurut Hazarina, segalanya bermula pada 2008 ketika dia hamil anak pertama yang menyebabkan dia perlu mendapatkan banyak informasi khusus buat dirinya dan anak bakal dilahirkan.

“Ketika itu saya rajin bertukar idea dengan wanita lain terutama berkaitan aspek penyusuan ibu dan penjagaan diri sebelum saya mula mengetahui mengenai alat pengepam susu yang memudahkan ibu berkerjaya menggunakannya bagi meneruskan pemberian susu ibu secara eksklusif.

“Ketika itu, alat terbabit dijual dengan harga agak mahal dan ada yang mencecah ribuan ringgit, namun simpanan wang gaji dan dibantu suami membolehkan saya membelinya untuk kegunaan sendiri,” ujarnya.

Hazarina yang juga anak kelahiran Kerteh, Terengganu berkata, bermula dari situ dia mula mendengar pelbagai rungutan dan kesedihan daripada rakan yang tidak mampu membeli alat berkenaan kerana harga yang terlalu mahal.

“Memikirkan masalah yang dialami kebanyakan wanita yang memerlukan alat pengepam susu, saya terpanggil untuk memikirkan kaedah terbaik bagi membantu menangani masalah terbabit.

“Saya mula melakukan sistem pembayaran ansuran bulanan seperti sistem ‘kutu’ bagi memudahkan rakan, kenalan dan sanak-saudara mendapatkan alat terbabit daripada saya.

“Saya puas kerana dapat membantu ramai wanita terutama ibu bekerja meneruskan penyusuan badan yang ternyata memberi banyak faedah khususnya kepada kesihatan bayi.

“Sejak itu juga saya semakin berminat dengan dunia perniagaan yang bukan saja memberi pulangan yang agak lumayan malah memudahkan saya menguruskan hal ehwal rumah tangga dan anak,” ujarnya.

Menurut Hazarina, keterujaan untuk membantu golongan ibu yang memerlukan pelbagai barangan untuk diri sendiri dan si kecil tersayang menyebabkannya terus berkecimpung dalam bidang perniagaan berkenaan.

“Ketika itu saya berniaga sambilan dengan menjual barangan secara dalam talian untuk menambah pendapatan keluarga sebelum nekad berhenti bekerja dan menjadikannya sebagai kerjaya utama.

“Berkat kesabaran dan kegigihan akhirnya saya mampu memiliki sebuah kedai khusus menjual barangan ibu dan anak dibantu suami pada Julai 2010,” katanya.

Hazarina kini mampu tersenyum bangga kerana kedainya yang menjual pelbagai barangan lengkap ibu dan anak seperti alat pengepam susu, baju, barangan bayi dengan pelbagai pilihan menarik iaitu Lunatots di Presint 15 Putrajaya mendapat sambutan menggalakkan.

“Konsep Lunatots yang berpegang kepada asuhan secara semula jadi terutama penyusuan ibu selain menjual pelbagai produk termasuk barangan kesihatan menarik minat wanita bergelar ibu untuk berkunjung ke kedai ini.

“Syukur kerana matlamat asal saya berkecimpung dalam bidang perniagaan ini tercapai. Bagi saya sesiapa saja mampu berjaya asalkan tahu matlamat dan mengekalkan sikap tidak cepat berputus asa,” katanya yang kini mempunyai empat cahaya mata.

Menurut Hazarina, soal modal bukanlah masalah utama yang perlu dibimbangkan kerana pasti ada cara yang boleh digunakan untuk memulakan sesebuah perniagaan.

“Biar bermula secara kecil-kecilan namun mempunyai impian yang besar selain tidak suka bertangguh, pasti segala yang diimpikan akan tercapai

“Saya bahagia dengan apa yang saya lakukan kini kerana melalui berniaga bukan saja saya mampu menjana pendapatan diri dan keluarga malah banyak masa saya dapat diuruskan dengan baik untuk anak-anak yang kini sedang membesar,” ujarnya yang turut menjalankan perniagaan itu secara dalam talian di www.suri.my.

Menurutnya, matlamat dan tujuan perlu ditetapkan sebelum memulakan sesuatu perniagaan bagi memastikan tidak terhenti separuh jalan.

“Apa juga jenis perniagaan perlu dijalankan seikhlas mungkin dan mementingkan perkhidmatan yang diberikan bagi menjamin pelanggan dan diri kita sendiri berpuas hati.

“Saya berazam meneruskan apa yang saya usahakan kini sehingga berjaya kerana selain aspek jualan, saya gembira kerana dapat membantu ramai wanita mendapatkan keperluan yang mereka kehendaki untuk diri juga si kecil tersayang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:44 AM