KATIE (kanan) bersama rakan sepasukan selepas memenangi  emas.
KATIE (kanan) bersama rakan sepasukan selepas memenangi emas.

Rio de Janeiro: Ratu gaya bebas Katie Ledecky memenangi pingat emas ketiga di Olimpik Rio selepas membantu pasukan wanita Amerika Syarikat (AS) memenangi acara 4x200 meter gaya bebas ketika Missy Franklin, bergelut dengan prestasi, tidak diturunkan pada aksi final.

Australia yang pada awalnya memimpin saingan sebelum Katie memintas, sekadar meraih pingat dan Kanada gangsa.

AS juara bertahan tetapi hanya Allison Schmitt yang pernah beraksi di London 2012 berada dalam skuad kali ini.

Leah Smith dan Maya DiRado turun selaku perenang kedua dan ketiga sebelum Katie yang memenangi 400 dan 200m gaya bebas, mempamer gaya bertenaga untuk memastikan emas milik AS.

Missy yang memenangi empat emas di London empat tahun lalu, bergelut dengan prestasi pada kempen kelayakan di AS dan dia hanya turun ketika saringan dan tetap membawa pulang emas meskipun tidak beraksi di final.

Begitu juga dengan Melaine Margalis dan Cierra Runge.

“Saya rasa amat bertuah menjadi sebahagian daripada pasukan AS,” kata Katie yang baru berusia 19 tahun tetapi muncul perenang paling cemerlang untuk AS.

“Saya rasa sudah melakukan persediaan rapi untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Saya tahu tiga perenang terdahulu akan cuba memastikan saya berada di kedudukan terbaik untuk menamatkan saingan di tempat pertama.

“Saya juga yakin mampu melakukannya. Adalah lebih mudah untuk berenang dengan laju apabila anda mempunyai tiga perenang yang turut pantas,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 6:52 AM