PELBAGAI cabaran dihadapi termasuk sukar bangun pagi.
PELBAGAI cabaran dihadapi termasuk sukar bangun pagi.
Najiy Jefri

Selepas berjaya membuktikan kemampuannya dalam dunia lakonan dan pengacaraan, Zulin Aziz menambah satu lagi cabang dalam portfolio seninya apabila tampil sebagai penyampai radio di Suria FM.

Zulin yang kini mengendalikan segmen Ceria Pagi Suria bersama Halim Othman dan Fizi Ali mengakui seronok bertugas di konti.

“Pada mulanya saya gementar mengendalikan segmen ini bagi menggantikan penyanyi hebat Adibah Noor.

“Bagi saya, tidak salah mencuba perkara baru. Lagipun industri kita kecil saja, jadi lebih baik saya menerima dan mengutip sebanyak mungkin pengalaman,” katanya.

Kata Zulin, lebih sebulan mengendalikan segmen itu pelbagai cabaran dihadapinya termasuk sukar bangun pagi.

“Terus terang, bulan pertama mengendalikan segmen ini terasa sangat mencabar. Bayangkan saya perlu berada di konti radio seawal jam 6 pagi.

“Selain itu, saya juga perlu memastikan diri sentiasa bertenaga dan kekal fokus. Apa tidaknya, saya belum dapat membiasakan diri buat lawak pada pagi hari. Namun saya cuba perbaiki kelemahan itu dan berusaha memberikan yang terbaik buat pendengar,” katanya.

Mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baru itu, Zulin bertuah kerana dibantu dua figura berpengalaman dalam dunia penyiaran.

“Saya bersyukur digandingkan dengan abang Halim dan Fizi. Sikap mereka yang tidak kedekut ilmu buat saya rasa seronok dan tidak tertekan ketika bekerja.

“Saya masih dalam proses belajar memikat hati pendengar,” katanya yang terpaksa menolak tawaran menjayakan beberapa drama dan teater sejak bergelar penyampai radio.

Dalam perkembangan lain, Zulin kini menyertai pertandingan Super Spontan yang bersiaran di Astro Warna setiap Jumaat, jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 5:02 AM