AFP

Rio de Janeiro: Perenang Amerika Syarikat (AS) Michael Phelps (gambar) meraih dua emas lagi untuk mencatat sejarah meraih 21 pingat emas peribadi keseluruhan bagi mengesahkan statusnya selaku legenda Olimpik.

Phelps menewaskan perenang Masato Sakai untuk meraih emas acara 200 meter kuak kupu-kupu dan kemudian membantu AS memenangi acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti.

Pada usia 31 tahun - atlet paling tua memenangi pingat emas menerusi acara renang di Olimpik - Phelps masih raja di kolam renang.

Selepas meraih 20 emas dalam lima temasya Olimpik, Phelps meraikan kejayaannya itu dengan bergaya.

Acara 200m gaya bebas rekod dunia pertama dilakukannya pada 2001 dan dia begitu bersemangat untuk merampas semula emas itu daripada perenang Afrika Selatan Chad Le Clos yang memenanginya pada 2012.

Phelps berkata, ini kali terakhir dia bersaing menerusi acara itu.

“Acara ini paling saya gemari. Saya tidak mahu tewas acara ini,” katanya.

Phelps akan kembali beraksi menerusi acara saringan dan separuh akhir 200 meter individu rampaian.

Namun, tiada yang mampu mengatasi aksi dramatik di kolam renang semalam apabila Katinka melengkapkan saingan acara individu rampaian dengan memenangi 200m dengan catatan terbaik 2:06.58 saat.

Katie Ledecky yang mengetuai generasi baru perenang AS, meraih emas kedua selepas menewaskan seteru terdekat dari Sweden Sarah Sjostrom dalam acara 200m gaya bebas dengan catatan 1:53.73s.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 12:33 PM