EcoWorld Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Johor berganding bahu dalam Program Turun Padang di Taman Komuniti Jalan Nenas, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor bagi memberi kesedaran mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar kepada penduduk di kawasan terbabit.

Program terbabit dirasmikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang Md Za'nal Misran dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Development Group Berhad Datuk Chang Khim Wah.

Menurut Md Za'nal, program itu diadakan bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar melalui amalan kitar semula yang juga adalah satu daripada usaha penting bagi mencapai pembangunan yang mampan, berkualiti dan seimbang.

"Program ini adalah jalinan kerjasama kedua, kali pertama ia diadakan di pejabat EcoWorld Sdn Bhd di Taman Kota Masai, April lalu.

"EcoWorld Sdn Bhd adalah antara syarikat pemaju perumahan di Pasir Gudang yang berjaya menarik perhatian penduduk di Taman Kota Masai dalam usaha melaksanakan amalan kitar semula, sekali gus melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya," katanya.

Program itu diisi dengan beberapa aktiviti antaranya sesi senaman J-Robik, penanaman pokok, acara 10,000 langkah, pameran, gotong-royong dan kitar semula.

"Selain usaha menjalinkan kerjasama dengan EcoWorld ini, beberapa langkah lain turut diambil ke arah menjadikan daerah ini bersih, selamat dan selesa untuk didiami.

"Antaranya dengan melaksanakan sepenuhnya Agenda Setempat 21 (LA21) di Pasir Gudang iaitu program yang menekankan pembabitan tiga pihak antaranya pihak berkuasa tempatan, masyarakat dan sektor swasta dalam bekerjasama merancang dan menguruskan kawasan persekitaran," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menggalakkan penduduk menjalankan gotong-royong berterusan dengan MPPG menyediakan kemudahan tong sampah beroda dan peralatan penjagaan kebersihan.

"Selain itu, kami turut menyarankan penduduk mengambil inisiatif menubuhkan lebih banyak pasukan sukarelawan pemeriksaan aedes (COMBI) bagi mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk dengan membuat pemeriksaan rumah ke rumah.

"Diharap dengan usaha yang dijalankan ini dapat memupuk sifat keprihatinan penduduk dalam memelihara alam sekitar dengan kaedah kitar semula bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selamat untuk didiami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:00 AM