Ezad kini mendapatkan rehat secukupnya di hospital.
Ezad kini mendapatkan rehat secukupnya di hospital.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi popular Ezad Lazim sekali lagi dimasukkan ke pusat perubatan swasta, di sini, selepas mengalami muntah berterusan, Isnin lalu.

Ezad ketika dihubungi berkata, dia mula mengalami muntah-muntah selepas selesai mengadakan persembahan di Klang, Selangor.

"Sebenarnya sebelum itu lagi saya sudah rasa tidak sedap badan kerana selepas makan pasti akan muntah. Sekarang saya terpaksa makan dalam jumlah yang sedikit.

"Mungkin masalah ini berulang akibat saya tersalah makan. Saya masih lagi makan ubat yang dibekalkan ketika menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Kedah sebelum ini," katanya yang dibenarkan keluar dari hospital berkenaan pada sebelah malamnya.

Sehubungan itu, Ezad berhasrat untuk mengambil cuti dan berehat.

Julai lalu, Ezad dua kali dimasukkan ke hospital akibat masalah yang sama.

Ezad berkata, doktor memaklumkan dia mengalami simptom Gastroesophageal Reflux Disease atau GERD.

“Doktor meminta saya lebih banyak berehat dan jangan terlalu banyak berfikir kerana ia boleh menjejaskan kesihatan saya. Mungkin saya akan berbincang dengan isteri Nor Zeana Ramli untuk mengehadkan aktiviti nyanyian selepas ini.

"Dalam keadaan kesihatan begini, saya perlu ada masa untuk diri sendiri pula," katanya.

Sementara itu, Ezad yang turut terbabit dengan program Super Karoks anjuran stesen radio Kool FM dijangka tidak dapat hadir ke majlis pengumuman pemenang program itu Jumaat ini.

Difahamkan, Ezad yang berganding dengan Rahmad dalam kumpulan Lazat adalah peserta pilihan dalam program berkenaan.

"Segala-galanya bergantung kepada tahap kesihatan saya. Saya masih lagi berfikir untuk pergi atau menolak. Saya bimbang orang akan fikir bukan-bukan kalau saya menolak. Bagaimanapun saya harap mereka faham kedudukan saya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Program Kool FM, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, pihaknya akur jika Ezad tidak dapat hadir ke majlis itu.

“Kita hanya akan umumkan pemenang Super Karoks dalam majlis itu. Jika kumpulan Lazat ditakdirkan menang, mungkin hanya Rahmad yang akan mengadakan persembahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 9:43 PM