Ciptaan sistem pengeri­ngan kayu suhu tinggi (High Temperature Drying atau HTD) yang mesra alam oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) meraih tempat pertama bagi kategori paten dalam Anugerah Harta Intelek Negara 2014 (AHIN 2014).

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod mengetuai perwakilan FRIM.

Turut berkongsi kejayaan, pegawai FRIM seperti Choo Kheng Teng dan Dr Woon Weng Chuen yang hadir di majlis penyampaian anugerah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

FRIM menerima hadiah berupa trofi, piala WIPO, sijil penghargaan dan wang tunai RM10,000.

AHIN anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sempena Hari Harta Intelek Negara yang disempurnakan Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek.

Sistem HTD adalah satu daripada 13 inovasi yang disenarai pendek daripada 90 penyertaan bagi kategori ini.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Penyelidik utama yang membangunkan sistem ini, Dr Sik Huei Shing dan Choo membuat pembentangan di Ibu Pejabat MyIPO untuk penilaian akhir bagi menentukan pemenang utama kategori berkenaan.

Teknologi HTD (rawatan kayu getah menggunakan pengeringan suhu tinggi) ini dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi industri kayu-kayan tempatan berkaitan halangan serta syarat-syarat perdagangan semakin ketat yang ditetap­kan negara maju dalam memastikan penggunaan produk lebih mesra alam.

Sistem ini bukan saja menghapuskan penggunaan bahan pengawet, malah dapat memendekkan masa kitaran pemprosesan sebanyak lebih 75 peratus.

Selain itu, kualiti kayu getah dirawat menggunakan HTD didapati baik serta terbukti mempunyai kestabilan dimensi lebih tinggi berbanding kayu yang dirawat dengan kaedah konvensional.

FRIM memperoleh paten untuk sistem HTD ini dari Amerika Syarikat pada Mac tahun lalu serta Malaysia pada Oktober tahun lalu dan Singapura pada Ogos lalu.

FRIM juga memfailkan paten di enam negara lain iaitu Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan India.

Teknologi HTD ini memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Inovasi Negara 2013 (Kategori Produk)-Malaysia; 'Green Invention Order of Merit Award 2013-World Inventor Award Festival-Korea' dan 'Forestry Order of Merit Award 2013-World Inventor Award Festival' di Korea.

Dr Sik juga diumumkan sebagai seorang daripada pemenang Anugerah Penyelidikan Kedoktoran Cemerlang IUFRO (Kesatuan Pertubuhan Penyelidikan Hutan Antarabangsa) bagi ijazah kedoktorannya mengenai pembangunan teknologi HTD.

Majlis penyampaian anugerah ini diadakan pada 10 Oktober lalu sempena Kongres Sedunia IUFRO ke-24 di Salt Lake City, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:00 AM