PEMENANG tempat utama dalam pertandingan.
PEMENANG tempat utama dalam pertandingan.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Bagi memperkasakan bidang keusahawanan di negara ini terutama golongan ibu, Shopee menganjurkan Cabaran Shopee Mighty Moms sebagai sebahagian daripada RM1,000,000 komitmennya melalui pertandingan yang memberi tumpuan menghasilkan Usahawan Ibu atau ‘Mompreneurs’.

Pemenang Cabaran Mompreneur menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 bagi membolehkan mereka memulakan perjalanan perniagaan mudah alih mereka.

Cabaran Mighty Moms adalah siri cabaran keusahawanan untuk golongan ibu dan dalam pencarian ibu terkuat Malaysia, 20 ibu dari lebih 200 pemohon dipilih sebagai peserta akhir. Untuk menewaskan cabaran ini, 20 peserta akhir diberi bimbingan peribadi daripada penjual terlaris Shopee selain pendaftaran automatik ke Universiti Shopee.

Universiti Shopee adalah bengkel khusus bagi mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut cara memulakan perniagaan perdagangan mudah alih dan menguasai seni menjual di platform itu.

Kursus di Universiti Shopee terdiri daripada topik seperti cara memanfaatkan media mudah alih untuk meningkatkan perniagaan, lebih banyak kemahiran khusus seperti bagaimana mengoptimumkan pemasaran dalam talian bagi perniagaan mereka dan kelas fotografi.

Bergerak selangkah ke depan, Shopee membuka pintunya kepada Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang menyaksikan empat Mompreneurs daripada pertubuhan itu berjaya merebut tempat antara 20 peserta ke perlawanan akhir.

Pengarah Eksekutif WAO Visvanathan Sumitra berkata, wanita yang terselamat daripada keganasan berdepan banyak cabaran dalam kehidupan mereka, dari bekerja hinggalah penjagaan anak.

“Dalam kerjasama ini, wanita terbabit dibekalkan dengan kemahiran dan sumber untuk menjana pendapatan tambahan bagi kehidupan yang lebih baik.

“Kami berterima kasih kepada Shopee dalam membantu ibu yang layak dari semua lapisan masyarakat untuk mencapai potensi keusahawanan mereka,” katanya.

Shopee Mighty Moms turut dibekalkan pengetahuan untuk menghasilkan produk daripada pelbagai kategori termasuk kesihatan dan kecantikan, produk kanak-kanak, fesyen, pakaian Muslimah tanpa sebarang kos.

Mompreneurs kemudiannya memasuki cabaran terakhir iaitu menjual produk mereka di Shopee Spree 2.0: Mighty Moms Finale Bazaar.

Bazaar yang diadakan di pada Jun lalu, menyaksikan lebih 5,000 lawatan dengan sokongan menggalakkan bagi Mompreneurs. Apa yang membanggakan, setiap Mompreneur berjaya menjual lebih 200 produk dalam bazar dua hari itu.

Cabaran Shopee Mighty Moms adalah satu lagi inisiatif dalam usaha berterusan Shopee untuk memperkasakan semangat keusahawanan rakyat Malaysia.

GadTech Brothers diwakili Siew Hong Ling dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama yang menerima RM5,000 manakala PRECIOUS & Co (Tan Zhu Yun) dan QingStar (Choy Foong Heng) memenangi tempat pertama dan kedua membawa pulang wang tunai RM3,000 dan RM2,000 masing-masing bagi memulakan perniagaan mereka.

Selain itu, Program Penghantaran Percuma Shopee turut dilancarkan dengan kerjasama kurier pos negara, Pos Laju pada Jun lalu. Sejak itu, terdapat permintaan yang mendadak dalam transaksi di Shopee dengan lebih ramai pembeli Malaysia mendapat manfaat daripada inisiatif ini. Menyedari permintaan tinggi program, Shopee melanjutkan tempoh Program Penghantaran Percuma hingga 31 Ogos ini.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Malaysia Ian Ho berkata, pihaknya bersemangat ke arah membina dan menyokong masyarakat setempat malah usaha dan perkongsian strategik itu sentiasa mendekatkan masyarakat dengan mereka.

“Kami sentiasa menyasarkan untuk mengurangkan, jika tidak menghapuskan, semua halangan yang menghalang rakyat Malaysia daripada menjadi usahawan. Disebabkan Program Penghantaran Percuma diterima secara meluas oleh penjual dan pembeli, kami ingin memikirkan perluasan ini sebagai lebih daripada satu hadiah Hari Merdeka untuk semua pengguna kami,” katanya.

Sementara itu Siew berkata, memenangi cabaran itu sememangnya sesuatu yang tidak diduga dan dia tidak dapat melakukannya tanpa bantuan daripada Shopee sejak hari pendaftaran.

Katanya, Program Penghantaran Percuma itu membolehkan dia mendekati pelanggan terutama dari kawasan Timur yang paling banyak membantu meningkatkan jualannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 12:46 PM