(DARI kiri) Cate, Bronte, Brittany, Emma puas dengan pingat emas yang dimenangi.
(DARI kiri) Cate, Bronte, Brittany, Emma puas dengan pingat emas yang dimenangi.

Rio de Janeiro: Barisan perenang 4x100m gaya bebas Australia melakarkan rekod baru dunia dan merangkul emas kedua negara itu pada hari pembukaan acara renang di temasya Rio.

Emma McKeon, Brittany Elmslie, Bronte Campbell dan pemegang rekod dunia dalam acara individu Cate Campbell mencatatkan 3 minit 30.65 saat untuk menewaskan kuartet Amerika Syarikat yang merangkul perak dengan catatan 3:31.89s dan Kanada ketiga 3:32.89s.

Perenang Australia memperbaiki rekod dunia 3:30.98s yang dicatatkan kuartet Australia ketika temasya Komanwel di Glasgow pada 24 Julai 2014.

“Sudah pasti ia akan menjadi acara akhir di Olimpik yang akan saya ingati. Berenang bersama kakak dan dua perenang yang saya kenali sejak berusia 12, 13 tahun dan kemudiannya meraih emas serta rekod dunia. Anda tidak boleh meminta lebih daripada itu,” kata Bronte Campbell. Kakak Cate yang mencatatkan rekod dunia dalam acara 100m gaya bebas pada Julai lalu berkata, status perenang Australia yang diletakkan sebagai atlet pilihan tidak membuatkan mereka terlalu yakin.

“Tiada apa-apa yang diperkatakan mengenai pingat emas, rekod dunia atau perenang utama menjelang acara itu,” katanya. “Ia lebih kepada cara bertukar perenang dengan selamat dan berenang mengikut keupayaan sendiri serta fokus terhadap diri sendiri berbanding perkara lain.”

AS menurunkan perenang terbaik gaya bebas mereka Katie Ledecky. Biarpun acara 100m bukan kepakarannya, atlet berusia 19 tahun yang juga penyandang tiga rekod dunia itu mampu menggugat pesaing dan dia merekodkan catatan masa terpantas peringkat saringan untuk menempah tempat di peringkat akhir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 12:50 PM