MASALAH tidur bukan saja membuatkan seseorang itu kemurungan malah meningkatkan risiko penyakit serius.
MASALAH tidur bukan saja membuatkan seseorang itu kemurungan malah meningkatkan risiko penyakit serius.

Sejujurnya, berapa ramaikah dalam kalangan dewasa yang tidur secukupnya melebihi tujuh jam setiap hari?

Bebanan tugasan dan tanggungjawab perlu dilunaskan saban waktu nampaknya membuatkan tidur pada kadar masa yang cukup adalah sesuatu yang mustahil.

Bagi penulis, memperoleh tidur empat hingga lima jam sehari pun sudah dianggap baik. Kerap juga didatangi masalah sukar tidur hingga pernah 30 jam diri bertahan tanpa melelapkan mata.

Dianggarkan lebih satu pertiga penduduk di negara ini tidur kurang tujuh jam setiap malam sementara lebih separuh penduduk dunia mengalami masalah tidur yang kronik.

Ini bukan isu baru dan pelik bagi kebanyakan kita tetapi tidak dinafikan masalah kekurangan tidur banyak menyumbang kepada kelesuan tubuh serta minda ketika melakukan aktiviti seharian.

Jelas Jelas Pakar Runding Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak, Kepala dan Leher, Pusat Perubatan Tropicana Dr Mallina Sivarajasingam, jumlah tidur yang diperoleh oleh golongan dewasa kebanyakannya dipengaruhi pola pemakanan dan tahap tekanan individu.

“Kita biasanya sibuk dengan pelbagai tugas pada waktu siang hingga kesibukan itu dibawa ke waktu tidur.

“Sesekali tidak dapat tidur dengan cukup atau sekurang-kurangnya enam jam bukanlah perkara luar biasa. Namun apabila ia menjadi tabiat, ia boleh berubah kepada masalah kesihatan yang serius.

“Tidak cukup tidur dan tidak mendapat tidur berkualiti banyak memberi kemudaratan pada diri hingga ada sesetengah kes membawa kepada kematian.

“Untuk jangka pendek, diri akan berasa letih berpanjangan pada waktu siang hingga menjejaskan keupayaan dalam membuat keputusan. Ia juga boleh membuatkan seseorang itu mengalami kemurungan di tempat kerja.

“Bagi jangka panjang pula, masalah tidur ini berupaya membawa kepada penyakit serius seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung, kegagalan jantung, masalah psikologi dan masalah ADD (kurang tumpuan tanpa hiperaktif).

“Ada kajian menunjukkan tidur yang kurang enam ke tujuh jam sehari meningkatkan lagi risiko kematian sama seperti merokok, penyakit jantung dan darah tinggi.

“Ketika tidur, tubuh berada dalam mod senyap dan itulah masanya badan dapat berehat dengan baik. Tidur juga membolehkan proses membaik pulih dalam badan berlaku secara semula jadi, di samping membantu mengurangkan masalah kesakitan terutama membabitkan bahagian leher dan kepala.

“Tabiat tidur yang baik sememangnya dapat memberi perubahan ketara pada kesihatan tubuh secara keseluruhannya.

“Tidur yang cukup dan berkualiti juga membolehkan seseorang mengelak daripada tabiat kurang sihat seperti makan berlebihan pada waktu tengah malam.

“Ramai tidak tahu kurang tidur boleh menyumbang kepada obesiti. Selain mengamalkan diet seimbang dan bersenam secara konsisten, tidur yang cukup dapat membantu kepada kejayaan pelan pengurusan berat badan seseorang itu,” katanya.

Kenal pasti punca

Banyak sebab atau punca mengapa seseorang dewasa itu mengalami masalah tidur. Tekanan kehidupan setiap hari boleh mengganggu kepada keupayaan individu untuk tidur dengan baik.

Tidak kurang pula yang sanggup mengabaikan tidur untuk memberi tumpuan kepada perkara lain seperti menyiapkan tugasan, belajar lebih masa, bermain dan sebagainya.

Kata Dr Mallina, ada juga kes sukar tidur disebabkan oleh masalah kesihatan tertentu dan keadaan mental yang tidak stabil.

“Amat penting untuk seseorang itu memberi perhatian kepada tabiat tidurnya. Ada beberapa hari diri dapat berehat dan tidur dengan baik tetapi itu bukanlah penanda kepada tahap tidur yang sepatutnya kerana selebihnya banyak masa berjaga daripada tidur.

“Kurangnya kesedaran mengenai perkara ini membuatkan ramai yang tidak tahu dirinya bermasalah,” ujarnya.

Selain bertemu pakar bagi mendapatkan rawatan, Dr Mallina mengesyorkan perubahan dalam pola tidur bagi mereka yang baru mengalaminya.

Antaranya ialah tidur dan bangun pada waktu yang sama serta elakkan melakukan aktiviti yang tidak berkaitan dengan tidur ketika berada di atas katil.

“Tidur pada waktu yang sama setiap malam. Hakikatnya ia tidak mudah dilakukan malah ada yang mengatakannya mustahil. Mulanya memang agak sukar tetapi selepas beberapa malam, tabiat tidur kita akan berubah secara perlahan-lahan.

“Selain itu, elakkan atau kurangkan penggunaan telefon pintar sebelum tidur. Cahaya terang pada skrin hanya membuatkan minda dalam keadaan berjaga dan menyukarkannya berehat.

“Cahaya terang pada telefon pintar dan gajet menghalang penghasilan melatonin iaitu kimia dalam otak yang penting untuk memudahkan kita tidur. Jadi sebaik-baiknya jangan ‘bermain’ telefon bimbit sekurang-kurangnya sejam sebelum tidur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 10:51 AM