Tahniah Cik Pang ucapkan kepada produksi filem Tamil tempatan, Maravan yang berjaya menang Anugerah Country Best di Festival Filem Antarabangsa Terbuka (International Open Film Festival) 2016.

Festival yang julung kali diadakan itu berlangsung di New York dan Dhaka pada 10 hingga 14 Jun lalu.

Mungkin ramai tidak tahu Maravan juga mengharumkan nama negara melalui beberapa festival lain di luar negara. Antaranya Festival Filem Phoenix di Melbourne, Festival Filem Planet Barcelona dan Festival Filem Antarabangsa Russia.

Mesti ramai bertanya kenapa tiba-tiba saja Cik Pang bercakap mengenai Maravan. Bagi Cik Pang, sama ada filem itu berbahasa Tamil, Cina atau Melayu yang diterbit dan dihasilkan anak tempatan, seharusnya kita berbangga.

Malah Cik Pang sendiri pernah menonton filem itu yang ditayangkan di pawagam pada Oktober tahun lalu. Filem ala-ala genre penyiasatan itu berjaya menambat hati penonton pelbagai bangsa.

Ia turut dilakonkan pelakon jelita popular, Pushpa Narayan yang suatu ketika dulu dikenali melalui drama Fara arahan Aziz M Osman.

Harap dengan pencapaian Maravan dan beberapa filem tempatan kita di luar negara membakar semangat lebih ramai pembikin filem tempatan menghasilkan filem berkualiti dan boleh dibanggakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:05 AM