Keadaan kereta dinaiki lima beranak yang terbabas di Kilometer 104.3 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Yong Peng, petang tadi. FOTO ihsan PDRM
Keadaan kereta dinaiki lima beranak yang terbabas di Kilometer 104.3 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Yong Peng, petang tadi. FOTO ihsan PDRM
Mohd Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: Suami isteri dan anak perempuan berusia dua tahun maut, manakala dua lagi anak lelaki parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 104.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara berhampiran Yong Peng, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.10 petang itu, mangsa S Siva, 34 , M Gayetri, 32 dan S Wiishnu Priiya, 2, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika lima beranak itu dalam perjalanan dari Gelang Patah ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum menghentam penghadang dan terjunam ke dalam longkang.

"Akibat daripada itu, ketiga-tiga mangsa tercampak keluar dari bahagian depan kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 8:33 PM