ABD Latif menunjukkan minuman keras dan rokok yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ABD Latif menunjukkan minuman keras dan rokok yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANTARA barang yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANTARA barang yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras bernilai kira-kira RM1.48 juta termasuk cukai dalam lori tangki kosong di Pelabuhan Kargo Kuala Kedah, di sini, Isnin lalu.

Pengarahnya, Datuk Abd Latif Abdul Kadir berkata, lori tangki berkenaan ditahan pada 10.10 pagi ketika tiba dari Langkawi menaiki ponton kerana disyaki mengangkut barang tanpa lulus kastam.

Menurutnya, pihaknya menggunakan alat pengimbas untuk memastikan kandungan dalam tangki terbabit sebelum mendapati empat ruangan di dalamnya mengandungi rokok dan minuman keras yang belum lulus kastam.

"Berdasarkan siasatan, lori tangki itu diikrar kosong tetapi selepas menggunakan alat pengimbas, barulah kita tahu ia sebenarnya menyembunyikan barangan terbabit.

"Hasilnya didapati pelbagai jenama rokok sebanyak 1.63 juta batang bernilai RM163,000 membabitkan nilai cukai sebanyak RM942,873.60.

"Manakala 1,669.80 liter minuman keras pelbagai jenama yang ditemui bernilai RM171,106 membabitkan cukai sebanyak RM208,630," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri di Jalan Pegawai, di sini, hari ini.

Abd Latif berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan pihak yang terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barangan larangan/belum lulus kastam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 12:19 PM