KEADAAN lori yang terbabas memasuki longkang pada bahagian kiri jalan. FOTO ihsan PDRM
KEADAAN lori yang terbabas memasuki longkang pada bahagian kiri jalan. FOTO ihsan PDRM
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Seorang pemandu lori maut manakala kelindan cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 103.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan berhampiran Yong Peng, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa Zainol Sabu, 44, meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kemalangan dipercayai berlaku sewaktu mangsa bersama kelindan berusia 18 tahun sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Johor Bahru.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori jenis Hino dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas memasuki longkang pada sebelah kiri jalan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh unit paramedik. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 1:13 PM