PENGUNJUNG pasti puas menikmati kedinginan Air Terjun Sungai Gepai sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
PENGUNJUNG pasti puas menikmati kedinginan Air Terjun Sungai Gepai sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
AIR terjun yang deras dari Banjaran Titiwangsa melakarkan panorama indah lagi segar buat pengunjung.
AIR terjun yang deras dari Banjaran Titiwangsa melakarkan panorama indah lagi segar buat pengunjung.
PENGUNJUNG boleh membeli buah tangan untuk dibawa pulang.
PENGUNJUNG boleh membeli buah tangan untuk dibawa pulang.
Oleh Rosman Shamsudin

Masih ramai tidak tahu di sebalik Kampung Asli Chang di Bidor, Perak terletaknya lokasi peranginan yang cukup menarik. Malah, dengan keindahan alam semula jadi dimilikinya wajar menjadi lokasi untuk dikunjungi.

Bagi pencinta alam, kawasan peranginan Sungai Gepai ini menjadi pilihan tepat untuk diterokai kerana perjalanan dari pekan Bidor ke kawasan air terjun bertingkat itu hanya mengambil masa 10 minit.

Jika menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, anda hanya perlu membelok ke kanan apabila menyusuri Plaza Tol Bidor.

Selepas itu, anda perlu melalui beberapa kawasan perumahan baru dan ladang kelapa sawit hingga ke perkampungan Orang Asli sebelum tiba di tempat letak kenderaan.

Jangan bimbang jika tersesat kerana anda akan dibantu masyarakat Orang Asli yang sangat ramah kerana kedatangan anda sebagai tetamu sangat dinanti-nantikan kerana turut memberi rezeki kepada mereka.

Hutan semula jadi yang menghijau serta kaya dengan sumber flora dan fauna pasti membuat pengunjung teruja sebaik melangkah di kawasan air terjun ini.

Melihat bongkah batu yang besar dan aliran air yang nyaman menjadikan pengunjung tidak sabar untuk berendam dan merasai kedinginan air sungainya.

Bongkah batu dan disusuli dengan jeram bertingkat dengan aliran air menjadikan suasana kawasan air terjun itu santai.

Ia mampu memberikan ketenangan, sekali gus membuatkan anda lupa sejenak kesibukan dan kepenatan bekerja.

Suara fauna dan kicauan burung membuat anda berasa seolah-olah berada di kawasan hutan tebal.

Malah, kehadiran kawanan ikan di dasar sungai memanggil kaki pancing untuk mencuba nasib.

Justeru, kawasan air terjun ini semakin menjadi tumpuan pengunjung pelbagai usia, sama ada mereka datang bersama keluarga mahupun rakan sebaya.

Namun, bagi pengunjung yang datang bersama keluarga, lebih baik memilih kawasan air terjun yang lapang terutama berdekatan jambatan konkrit kerana air tidak terlalu dalam.

Anak muda lebih gemar mandi-manda di celah bongkah batu supaya dapat merasai air terjun yang lebih deras membasahi badan mereka.

Pengunjung yang tahan lasak pula mengambil peluang mendaki lereng bukit dengan melalui tepi sungai untuk mendekati kawasan air terjun di bahagian atas.

Mereka yang ingin menyusurinya perlu berhati-hati ketika mendaki kerana khuatir terjatuh, malah digalakkan mendaki secara berkumpulan untuk tujuan keselamatan.

Selesai mandi-manda dan menikmati kehijauan panorama di Sungai Gepai ini, dalam perjalanan pulang singgah di Medan Gerai Jambu Bidor di Jalan Bidor-Sungkai atau ke pekan untuk membeli petai segar di tepi jalan sebagai buah tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:05 AM