Yusliza Yakimir Abd Talib


Fesyen Muslimah Malaysia menjadi sebutan dalam kalangan pengunjung Festival Fesyen Muslim 2016 (MUFFEST) yang berlangsung baru-baru ini di Jakarta, Indonesia dengan pembabitan enam pereka fesyen tempatan mewakili negara.

Enam pereka itu, Ainibakker oleh Nor Aini Bakker, Yans Creations oleh Yani Bakhtiar, I Love Wirda oleh Wirda Adnan, Azura Couture oleh Azura Mazaruddin, Durrah Jewellery oleh Durrah Khalil dan Sara J oleh Sara Jamaludin diberi peluang mempamerkan fesyen pakaian dan barang kemas dalam tempoh lima hari pameran yang dihadiri ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Sekumpulan pereka fesyen berkenaan dijemput oleh Minggu Fesyen Malaysia 2016 (MFW 2016), satu projek Perdagangan Antarabangsa Malaysia untuk mengambil bahagian dalam MUFFEST 2016 sebagai usaha pertukaran fesyen antara dua negara Islam terbesar di ASEAN.

Pengarah Seksyen Gaya Hidup Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof berkata, Indonesia ialah pasaran fesyen Muslimah yang sangat penting dengan penduduk Islam melebihi 200 juta.

Menerusi penyertaan dalam MUFFEST, ia bukan saja mengetengahkan pakaian Muslim Malaysia di peringkat antarabangsa, pada masa sama membantu mempromosi MFW yang berlangsung November ini yang dirangka untuk mempamerkan segmen busana Muslim dipanggil MODESTyle.

“Acara ini akan menjadi platform perdagangan berasaskan ASEAN yang lebih besar untuk penggiat antarabangsa yang terdiri daripada pembeli, peserta pameran dan media asing.

“Saya berharap mereka akan meneruskan usaha kreatif dalam MFW 2016 pada November akan datang bagi menunjukkan bahawa pereka Malaysia lebih daripada mampu menjadi tumpuan di arena fesyen antarabangsa. Ini petanda baik bagi masa depan industri fesyen Malaysia untuk menjadi pusat fesyen di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) Mahani Awang berkata, pencapaian pereka fesyen Malaysia yang mencipta satu impak besar pada acara penting untuk fesyen Muslimah itu dengan meraih lebih 80 peratus dalam jualan di gerai mereka amat membanggakan.

Katanya, terdapat pasaran global yang besar untuk pakaian Muslimah dan kejayaan itu diharap menggalakkan pereka tempatan mencapai matlamat lebih tinggi terutama dalam usaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

“Kami juga berharap dunia akan melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam sederhana yang boleh menawarkan pelbagai reka bentuk pakaian Muslimah dan trend di samping mengalu-alukan mereka melihat lebih banyak fesyen busana Malaysia di MFW pada November ini,” katanya.

Fesyen Muslimah menjadi salah satu segmen penting yang cepat berkembang dalam industri fesyen global hari ini sehingga jenama pereka antarabangsa seperti Dolce & Gabbana, Oscar de la Renta, Tommy Hilfiger, label pakaian dan peruncit seperti Mango, Uniqlo dan H&M mula mengetengahkan rekaan fesyen berorientasikan Muslimah dalam koleksi mereka.

MFW 2016 yang akan berlangsung di Matrade Exhibition & Convention Centre di Kuala Lumpur dari 2 hingga 5 November ini ialah acara tahunan perdagangan fesyen dan gaya hidup terbesar di negara ini di bawah MATRADE.

Tahun lalu, MFW menyumbang RM127.52 juta dalam jualan berpotensi dan menarik jenama dan pereka dari lebih 14 negara serta 9,150 pelawat tempatan dan antarabangsa.

Eksport Malaysia melalui produk fesyen dan gaya hidup mencapai RM36.91 bilion pada 2015, meningkat 13.2 peratus berbanding RM32.61 bilion pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:03 AM