PINTU gerbang Lumut Waterfront bermandi cahaya pada waktu malam.
PINTU gerbang Lumut Waterfront bermandi cahaya pada waktu malam.
PENJUALAN pelbagai barangan memudahkan pengunjung dan menambahkan pendapatan peniaga.
PENJUALAN pelbagai barangan memudahkan pengunjung dan menambahkan pendapatan peniaga.
PERSEMBAHAN nyanyian anak tempatan menambahkan hiburan malam di Jeti Lumut.
PERSEMBAHAN nyanyian anak tempatan menambahkan hiburan malam di Jeti Lumut.
Rosman Shamsudin

Suasana malam di Jeti Lumut berbeza dengan keadaannya pada sebelah siang.

Mana tidaknya, di kala siang jeti ini menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong yang ingin membeli tiket feri ke Pulau Pangkor, antara destinasi pelancongan terkenal di Perak.

Apabila siang melabuhkan tirainya, suasana sekitar Jeti Lumut meriah pada waktu senja dengan kunjungan orang ramai dan pelancong untuk beriadah sambil melihat suasana matahari terbenam serta merasai kedinginan angin laut bertiup.

Kelihatan kenderaan pengunjung mula membanjiri dan mengeliling pekan itu terutama kawasan meletak kereta, bagaikan terdapat pesta di jeti itu membuatkan kita pasti teruja melihat apakah kemeriahan di sebalik kunjungi orang ramai pada waktu malam.

Kanak-kanak begitu asyik berlari-lari di kawasan dataran sambil bermain belon air manakala peniaga mengambil kesempatan berniaga menjadikan suasana waktu malam di jeti itu begitu meriah.

Pada malam minggu, kadangkala terdapat pertunjukan nyanyian daripada kumpulan muzik tempatan membuatkan pengunjung dibuai hiburan sambil menikmati udara malam tepi laut bersama keluarga serta sahabat dalam suasana harmoni.

Kawasan jeti dan Lumut Waterfront kelihatan bermandi cahaya dengan cahaya lampu sehingga di atas pokok menjadikan suasana terang benderang dan ada yang mengambil kesempatan menikmati makan malam di restoran di kawasan jeti ini.

Di kawasan dataran, peniaga tidak menang tangan melayan pengunjung yang tidak putus-putus mengunjungi jeti ini, sekali gus menambah rezeki untuk menjalani kehidupan seharian.

Kaki pancing juga mengambil kesempatan memancing di kawasan tembok jeti kerana kawasan ini selamat dan boleh memancing sehingga ke pagi tanpa gangguan sambil bersantai setelah saban hari bekerja membanting tulang mencari rezeki.

Pelbagai telatah dan aksi orang ramai terutama kanak-kanak boleh dilihat di kawasan dataran yang begitu teruja bermain sambil diperhatikan ibu bapa.

Ketika air pasang terdengar bunyi air laut menghempas tebing tembok dan ada kalanya membasahi pakaian, namun semua itu tidak dihiraukan pengunjung untuk terus bergembira. Bagi mereka, semua itu pengalaman dan keseronokan saat bermain di jeti.

Berhampiran jeti ini terdapat pekan yang menjual pelbagai hasil tangkapan laut dan barangan cenderahati yang juga antara sebab Jeti Lumut menjadi tumpuan pada waktu malam.

Kepelbagaian hidangan makanan laut yang ditawarkan menjadikan restoran dikunjungi ramai terutama anak muda yang ingin bersantai sambil menikmati makan malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 12:01 PM