SHAMSURI (dua kiri) memeriksa penjualan ayam yang disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga di Pasar Siti Khadijah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAMSURI (dua kiri) memeriksa penjualan ayam yang disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga di Pasar Siti Khadijah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kenaikan harga ayam di negeri ini sehingga mencecah RM30 seekor tiada kaitan dengan wabak penyakit ‘infectious bronchitis’ atau bronkitis berjangkit (IB), malah disebabkan beberapa pihak yang mahu mengaut keuntungan tinggi.

Ketua Seksyen Akta Kawalan dan Anti Pencatutan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, Shamsuri Hamzah berkata, peladang, pemborong dan peniaga cuba mengambil kesempatan pada musim perayaan.

Katanya, hanya musim perayaan sahaja mereka mengambil kesempatan tetapi hari biasa ayam dijual dengan harga normal.

"Individu yang menaikkan harga ayam dengan tidak munasabah boleh didenda sehingga RM100,000 dan bagi syarikat maksimum RM250,000 mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Kita akan terus membuat pemantauan bagi memastikan ayam dijual dengan harga di bawah paras siling," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan harga ayam di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan peniaga di negeri ini menjual ayam sehingga RM30 seekor di musim perayaan untuk mengaut keuntungan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 2:01 PM