SEBAHAGIAN produk IAT yang dijual di pusat sehenti BIZ.
SEBAHAGIAN produk IAT yang dijual di pusat sehenti BIZ.
SURAYA (kiri), Ahmad (dua dari kiri) dan Othman (kanan) menunjukkan pelbagai produk tempatan.
SURAYA (kiri), Ahmad (dua dari kiri) dan Othman (kanan) menunjukkan pelbagai produk tempatan.
Mohamad Hussin

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melancarkan industri asas tani (IAT) BIZ yang berperanan sebagai pusat sehenti mengumpul, mempromosi, memperkenal dan memasarkan produk usahawan tempatan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang menjadi platform berfungsi menyalurkan maklumat kepada pelanggan dan menjalankan pemadanan perniagaan (business matching).

Pusat pengumpulan dan pemasaran produk yang dikendalikan MADA menyediakan ruang pemasaran yang lebih komprehensif dalam usaha melonjakkan nilai jualan.

Ia juga meningkatkan pendapatan usahawan, malah menjadi pusat tarikan pelancongan (tourist center) berasaskan produk IAT dan pemprosesan pertanian (cenderamata).

Pengerusi MADA Datuk Othman Aziz berkata, pusat pengumpulan dan pemasaran itu disasar memberi pulangan RM1.606 juta dalam tempoh lima tahun beroperasi.

Beliau berkata, matlamat utama MADA untuk memajukan kesejahteraan hidup sebilangan besar penduduk desa dan melebihkan hasil untuk keperluan negara.

“Antara usaha bagi memajukan kesejahteraan hidup penduduk desa ini ialah melalui pembangunan usahawan tani. Ia sejajar dengan hasrat kerajaan ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

“Pendapatan perkapita RM48,000 setahun dengan 90 peratus disumbangkan daripada sektor padi manakala 10 peratus melalui sektor IAT dan bukan padi.

“Antara skop pembangunan usahawan tani ialah program pembangunan usahawan merangkumi pengeluaran dan pemasaran produk,” katanya selepas Majlis Pra Pelancaran IAT BIZ, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Kedah Datuk Suraya Yacob.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak.

Othman berkata, sehingga kini, seramai 2,524 usahawan tani di bawah bimbingan MADA memasarkan produk melalui pusat pengumpulan MADA dan pemasaran secara individu.

“Jumlah terkumpul usahawan di bawah bimbingan MADA dari tahun 2010 hingga tahun 2014 seramai 2,524 orang. Jumlah nilai jualan terkumpul bagi tempoh berkenaan RM383.48 juta.

“Produk yang dihasilkan usahawan dipasarkan melalui pusat pengumpulan produk dan sebahagiannya dijual secara terus usahawan ke saluran pasaran lain,” katanya.

Menurutnya, nilai jualan produk usahawan bimbingan MADA di seluruh Kedah dan Perlis bagi tahun 2014 berjumlah RM112.81 juta.

“Sebanyak RM3.94 juta jualan melalui Peladang Mart Shoppe (PMS) manakala RM108.87 juta pemasaran secara terus usahawan kepada pembeli dan saluran pasaran lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 11:58 AM