DATIN Zunita Mohamad, 55, disamping anak anaknya menyiram air mawar ke pusara suaminya, Allahyarham Datuk Aziz Singah. FOTO Hazreen Mohamad
DATIN Zunita Mohamad, 55, disamping anak anaknya menyiram air mawar ke pusara suaminya, Allahyarham Datuk Aziz Singah. FOTO Hazreen Mohamad
Khairul Najib Asarulah Khan


Rembau: Jenazah pelakon veteran Datuk Aziz Singah, 75, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bongek di sini, 12.30 tengah hari tadi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor dan sekali lagi disembahyangkan di Masjid Kariah Kampung Bongek, di sini.

Hampir 100 ahli keluarga, saudara mara dan rakan arwah hadir memberi penghormatan terakhir.

Terdahulu,arwah yang menghidap kanser prostat dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Kuala Lumpur kira-kira jam 9 malam tadi selepas menerima rawatan di Institut Kanser Negara sejak Mei lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga termasuk isteri, anak-anak dan menantu kira-kira jam 11.30 malam.

Difahamkan, arwah meminta keluarganya membawanya pulang ke rumah berikutan keadaannya yang semakin tenat.

Arwah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Khatijah Abu Hassan dan dikurniakan tiga orang anak namun hubungan itu tidak bertahan lama.

Beliau kemudiannya berkahwin dengan Datin Zunita Mohamed dan hasil perkahwinan itu mereka turut dikurniakan anak jumlah yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 1:36 PM