NUR Alert sebar berita kana-kanak hilang dan orang ramai kini menggunakan FB untuk membuat hebahan.
NUR Alert sebar berita kana-kanak hilang dan orang ramai kini menggunakan FB untuk membuat hebahan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis akan bekerjasama dengan Facebook menyebarkan maklumat kehilangan kanak-kanak di negara ini kepada pengguna laman sosial berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ACP Ong Chin Lan berkata ia sebagai langkah mencari dan mengesan kanak-kanak yang hilang menggunakan medium berkenaan.

“Laman media sosial bertindak memberikan amaran yang akan muncul dalam slot suapan berita bagi memaklumkan kepada pengguna Facebook apabila ada kanak-kanak hilang,” katanya.

Menurutnya, idea itu inisiatif seorang wakil Facebook yang menghubungi pihaknya awal tahun ini untuk membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi mencari kanak-kanak hilang.

"Ia diluluskan Ketua Polis Negara dan bakal dilancarkan September ini

Melalui kerjasama ini, Facebook menjadi ahli pasukan ke-36 PDRM bagi sistem National Urgent Response Alert (NUR Alert),” katanya pada sidang media NUR Alert, portal kanak-kanak hilang dan pedofilia di sini, hari ini.

Selain itu, PDRM turut bekerjasama dengan 35 anggota pasukan pelbagai kementerian, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mengumpul maklumat dan mencari kanak-kanak hilang melalui sistem berkenaan.

Sistem itu yang dilancarkan pada 2007 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berikutan penculikan Nurin Jazlin Jazimin.

Bagaimanapun, pada 2011 PDRM mengambil alih sistem pengurusan penculikan kanak-kanak hilang di negara ini.

NUR Alert bertindak sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun yang diculik atau hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 12:43 AM