ISKANDAR tak rela kalah lagi di tangan Daren.
ISKANDAR tak rela kalah lagi di tangan Daren.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin berjaya memberikan persembahan meyakinkan untuk melepasi dua pusingan pertama Terbuka Taiwan, semalam.

Naib juara Masters Malaysia itu mengecewakan wakil Indonesia pada pusingan pertama Firman Abdul Kholik selepas menang 21-19, 21-11 di Arena Taipei.

Pada pusingan kedua dia menumpaskan Derek Wong dari Singaura 21-10, 21-14, kemenangan pertamanya ke atas pemain negara jiran itu selepas pertemuan sulung sebelum ini di Cabaran Antarabangsa India 2010, Iskandar tumpas 12-21, 20-22.

Menanti Iskandar pada pusingan ketiga hari ini rakan senegara Liew Daren yang sebelum itu cemerlang mengalahkan dua wakil tuan rumah Kuo Ching Hung 21-12, 21-19 dan Shih Kuei Chun 13-21, 21-18, 21-17.

Menurut Iskandar, dia bermain seperti biasa dan mengikut rentaknya tersendiri, namun dia perlu lebih fokus lagi menjelang aksi pusingan ketiga hari ini.

“Memang agak sedikit penat beraksi di Terbuka Taiwan kali ini, apabila undian yang dilakukan menyaksikan kami terpaksa beraksi dalam tempoh singkat untuk dua perlawanan dalam satu hari,” katanya semalam.

Bagaimanapun, pemain dari Johor itu berkata, dia masih boleh menyesuaikan diri dengan undian itu hingga membolehkannya mencatat kemenangan straight set untuk aksi pusingan pertama dan kedua.

“Saya tidak berdepan masalah bertemu Firman kerana pernah menumpaskannya sebelum ini, cuma Derek ini kali pertama saya mengalahkannya. Pada pertemuan sulung (2010) saya tumpas kepadanya,” kata Iskandar.

Ditanya mengenai aksi bertemu Daren, Iskandar berkata, dia cuba untuk menamatkan kemarau tidak pernah menang ke atas bekas rakan sepelatih itu walaupun masing-masing mengetahui kelemahan antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 10:31 AM