HO bersama aksesori permainan Nickelodeon di depan tarikan terbaru Sunway Theme Park.
HO bersama aksesori permainan Nickelodeon di depan tarikan terbaru Sunway Theme Park.
Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Sunway Theme Park yakin dapat menarik lebih ramai pelancong luar negara menerusi pembinaan ikon baharu di Sunway Lagoon iaitu Nickelodeon Lost Lagoon dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM100 juta.

Pengurus Besar Kanannya, Calvin Ho berkata, pihaknya sentiasa menambah baik dan memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung Sunway Lagoon.

Katanya, syarikat turut memperuntukkan perbelanjaan modal RM3 juta setahun bagi penyelenggaraan dan penambahbaikan taman tema yang menarik kunjungan pelancong di seluruh dunia.

“Nickelodeon Lost Lagoon dibuka kepada orang awam pada 3 Februari lalu dan kami menitikberatkan alam semula jadi sedia ada di taman itu kerana pembinaannya dibuat tanpa menjejaskan pokok yang ada di sana.

“Biarpun menelan kos tinggi, namun kami berpuas hati menampilkan keseronokan kepada penjunjung dalam suasana alam menghijau di sekitarnya,” katanya.

Menurutnya, Sunway Lagoon yang berkeluasan 32 hektar kini mencapai 100 peratus pembangunan, manakala pembinaan Nickelodeon Lost Lagoon pula bersaiz 4.05 hektar.

Ho berkata, pembinaan ikon baharu itu menjadikan tarikan di Sunway Lagoon berjumlah enam dan setiap satu mempunyai aktiviti berbeza.

Beliau berkata, biarpun berdepan ekonomi negara tidak menentu dan penyusutan nilai ringgit, pihaknya menyasarkan peningkatan jumlah pengunjung iaitu 1.8 juta tahun ini berbanding 1.3 juta direkodkan tahun lalu.

“Sebanyak 60 peratus daripada pengunjung Sunway Lagoon terdiri daripada pengunjung luar negara, selebihnya pengunjung tempatan.

“Justeru, kami menjangka dapat menarik lebih ramai pelancong dari China dan Timur Tengah tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 7:51 AM