DALAM proses fikirkan konsep, tarikh dan tempat sesuai.
DALAM proses fikirkan konsep, tarikh dan tempat sesuai.
Georgie Joseph


Selepas mendapat tempat ketiga dalam program Gempak Superstar baru-baru ini, penyanyi dan pelakon Arja Lee, 32, bakal merealisasikan impiannya mengadakan persembahan.

Arja ketika ditemui berkata, dia tidak sabar untuk tampil dengan persembahan istimewa itu apatah lagi sebelum ini dia terpaksa membatalkan niat itu berikutan kekangan dalam banyak perkara.

Bagaimanapun, ia masih di peringkat awal dan dia juga dalam proses memikirkan konsep serta tarikh selain tempat yang sesuai.

“Tarikhnya belum ada tetapi berkemungkinan akan diadakan selepas Aidilfitri nanti. Saya mahu pastikan ia akan berjalan lancar sebagaimana saya sendiri bayangkan,” katanya.

Arja berkata, persembahan itu adalah hadiah untuk peminatnya terutama yang banyak menyokongnya ketika di Gempak Superstar.

“Ini bukan cakap kosong dan saya memang berhasrat melakukannya. Ketika tampil dengan single Cerita Pada Mereka sebelum ini, hasrat itu tertangguh dan saya memang terkilan kerana tidak dapat merealisasikan impian itu,” katanya.

Jika sebelum ini ramai tidak tahu kebolehan vokal Arja, kini dia gembira kerana pendengar mula membuka mata terhadap nyanyiannya.

Katanya, dia bersyukur apabila Astro memberinya peluang untuk menyertai program Gempak Superstar.

Menurutnya, di situlah dia benar-benar dapat rasakan peminat tahu tahap kebolehan nyanyiannya.

“Selama enam minggu terbabit dalam program itu, saya berjaya buktikan bukan sekadar penyanyi yang memerlukan teknologi mencantikkan suara di studio rakaman semata-mata.

“Mendapat markah tertinggi daripada juri profesional pada pentas final itu memberi lebih suntikan semangat buat saya,” katanya.

Selain itu, Arja juga berhasrat membawa karier muziknya ke tahap tertinggi sebagaimana penyanyi lain dan dia juga bakal melancarkan single terbarunya berjudul Bintang Malam tidak lama lagi,”katanya yang mahu dikenali sebagai penyanyi berkualiti seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah.

“Saya sedar untuk ke tahap itu perjalanan masih jauh. Namun saya sangat optimis boleh mencapai tahap setanding dengan nama handalan itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, dia juga berharap single terbaru itu kelak bakal memperkenalkan dirinya kepada pencinta muzik tempatan.

“Sebenarnya Bintang Malam sudah lama siap dan saya cuma mencari waktu terbaik untuk melancarkannya secara rasmi. Ia mungkin akan dilancarkan dalam persembahan yang saya rancang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 5:04 AM