LAMELA (kiri, jersi 18) menjaringkan gol pertama Argentina.
LAMELA (kiri, jersi 18) menjaringkan gol pertama Argentina.
AFP

Seattle, AS: Argentina mengekalkan rekod 100 peratus pada Copa America Centenario dengan kemenangan mudah 3-0 ke atas Bolivia, ketika juara bertahan Chile menempah tiket ke suku akhir, semalam.

Pilihan utama kejohanan itu, yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menang ke atas Chile dan Panama, melengkapkan kempen Kumpulan D dengan kemenangan berat sebelah di CenturyLink Field.

Kemenangan itu menyaksikan Argentina layak ke suku akhir sebagai juara kumpulan, memberikan mereka tugasan mudah menentang Venezuela di Foxborough awal pagi Ahad ini.

Juara dunia dua kali itu berazam menamatkan penantian 23 tahun untuk memenangi kejuaraan utama selepas mengalami kekalahan pada final Piala Dunia 2014 dan Copa America tahun lalu.

Jurulatih Argentina Gerardo Martino memilih untuk merehatkan ketua pasukan Lionel Messi selepas jaringan hatrik hebatnya menentang Panama.

“Orang mahu melihatnya. Penonton di seluruh dunia sedia membayar tiket untuk menyaksikannya bermain dan dia perlu menghadapinya,” ujar Martino. “Kadangkala dia harus bermain dan kadangkala perlu berada di bangku simpanan tapi dia mempunyai tanggungjawab untuk mengikuti kemahuan peminat yang membayar untuk melihatnya,” katanya.

Argentina meraih tiga gol menerusi pemain sayap Tottenham Hotspur Erik Lamela pada minit ke-13, ddikuti gol Ezequeil Lavezzi dua minit kemudian dan pertahanan tengah Victor Cuesta (gambar) menambah gol ketiga pada minit ke-32.

Messi masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua dan kemunculannya itu menjadi persoalan sama ada bintang Barcelona itu mampu menjaringkan gol antarabangsa ke-54 untuk menyamai rekod Gabriel Batistuta.

Dalam satu lagi perlawanan, Alexis Sanchez dan Eduardo Vargas masing-masing menyumbat dua gol membantu Chile menang 4-2 ke atas Panama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 9:41 AM