PUASA mendidik serta membantu sistem penghadaman menerima makanan dan minuman pada waktu ditetapkan saja.
PUASA mendidik serta membantu sistem penghadaman menerima makanan dan minuman pada waktu ditetapkan saja.
Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin

Sebelas bulan lalu, organ dalaman termasuk mulut dan nafas kita kuat bekerja. Kini, Ramadan memberi peluang semuanya melalui kerehatan dan pemulihan supaya kembali berfungsi secara lebih berkesan.

Perut manusia bukan hanya tempat menyimpan makanan, bahkan pusat menyeimbangkan makanan. Keseimbangan ini akan mudah rosak jika makan berlebihan.

Justeru, Rasulullah SAW menyarankan bersederhana dalam mengambil makanan dan minuman iaitu sepertiga makanan, sepertiga air dan sepertiga udara.

Sabda Baginda SAW daripada Miqdad bin Ma’dikarib mafhumnya: “Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bekas yang lebih jahat (hina) melainkan bagi memenuhi perutnya, sekiranya dia makan memadai dengan suapan kecil yang mampu menguatkan tulang sulbinya.

“Sekiranya dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga nafasnya.” (Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasai dan Ibnu Majah)

Puasa mendidik serta membantu sistem penghadaman menerima makanan dan minuman pada waktu ditetapkan saja, sedangkan pada kebiasaannya seseorang itu sentiasa menikmati hidangan makanan tanpa mengira waktu dan menu.

Ini menjadikan perut bekerja memproses makanan tanpa rehat. Penyelidik dan pakar ilmu perubatan ada menyatakan puasa mampu mengurangkan kadar toksin dalam badan dan secara tidak langsung meningkatkan imunisasi melawan penyakit.

Puasa memberi kesan sangat baik kepada kesihatan. Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Berpuasalah, nescaya kamu menjadi sihat.” (Riwayat Tabrani)

Puasa dapat menghindarkan penyakit yang datang daripada makanan dimakan. Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Perut itu adalah rumah penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, janganlah kita mencacatkan Ramadan dengan kemeriahan festival bazar Ramadan dan promosi bufet Ramadan yang mula diuar-uarkan sebelum ketibaan Ramadan.

Ajaib sekali perintah Allah SWT untuk berpuasa menjadikan kita kembali sihat. Menurut pandangan ahli biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak berfungsi dengan baik.

Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja penghadaman makanan. Sebab itu apabila seseorang makan terlalu kenyang, otak menjadi lemah untuk berfikir manakala tubuh terasa mengantuk dan malas.

Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang untuk melaksanakan aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal berkesan.

Firman-Nya bermaksud: “Hai manusia! Makanlah yang halal lagi baik dari apa yang ada di bumi dan janganlah kamu mengikut langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Ini panduan dalam membina kekuatan jasmani, emosi dan rohani manusia yang murni. Makanan halal lagi baik adalah asas, bukan hanya menjaga kesihatan jasmani, tetapi juga kesihatan rohani (jiwa dan hati).

Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah amalan sunat digalakkan. Setiap perkataan dan perbuatan sunah Nabi SAW ada hikmah dan ganjarannya. Kelebihan bagi mereka yang bersahur antaranya sabda Rasulullah SAW mafhumnya:

“Makan sahur adalah berkat, maka janganlah kamu meninggalkannya meskipun seorang antara kamu hanya minum seteguk air.” (Riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW juga bersabda, mafhumnya: “Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melewatkan makan sahur adalah amalan dilakukan Nabi SAW dan sahabat. Sunah Nabi SAW supaya sahur dilewatkan amat signifikan kerana ia menepati waktu bersarapan pagi.

Kajian menunjukkan makanan paling utama dalam waktu 24 jam ialah sarapan pagi. Menurut laporan BBC News pada 7 Mac 2003, bersarapan pagi penting bagi memelihara kesihatan berbanding mengambil makanan pada waktu lain.

Malah, kajian Dr Mark Pereira, pakar perubatan Pusat Perubatan Harvard mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis.

Kajian sama juga menunjukkan mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi.

Ini bermaksud mereka yang selalu bersarapan pagi risikonya rendah menghidap kencing manis.

Kajian terkini menunjukkan paras glukosa dalam darah yang rendah selepas bangun tidur akan berterusan jika tidak bersarapan pagi yang memberi kesan kepada kanak-kanak terutama dalam memberi tumpuan kepada pelajaran.

Satu kajian juga dilakukan Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor kepada 700 pelajar di Louisiana menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah.

Keadaan ini boleh menyebabkan anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Penemuan ini dilaporkan Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.

Ini realitinya beberapa kajian menyatakan pentingnya bersarapan pagi dan kurangnya risiko mendapat penyakit bagi mereka yang selalu bersarapan pagi dan sebaliknya, yang boleh dikiaskan dalam sunah bersahur bagi Muslim berpuasa.

Firman-Nya bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), mahukah aku khabarkan apa yang lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa, ada syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya.

“Mereka dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

“(Iaitu) orang yang berdoa: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami beriman. Oleh itu, ampunilah dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka.

“(Dan juga) orang yang sabar, orang yang benar, orang yang sentiasa taat, orang yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) dan orang yang memohon ampun pada waktu sahur.” (Surah Ali-Imran, ayat 15 hingga 17)

Menu sihat digalakkan ketika sahur dan berbuka ialah didahulukan buah kurma dan air. Kurma adalah makanan sunah yang disebut 21 kali dalam al-Quran.

Ia mempunyai sumber seperti gula, serat, zat besi, kalsium dan magnesium yang menjadikannya diet seimbang yang lengkap bagi melanjutkan tenaga.

Ketika berbuka puasa, makan sedikit demi sedikit lebih baik daripada makan banyak sekali gus. Makan secara sihat perlu dijadikan amalan sepanjang waktu walaupun bukan di bulan puasa. Jadikan Ramadan titik permulaan gaya hidup sihat dan seimbang.

Penulis ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 8:07 AM