LAMBAKAN makanan segera lebih menarik minat kanak-kanak berbanding sayur dan buah-buahan.
LAMBAKAN makanan segera lebih menarik minat kanak-kanak berbanding sayur dan buah-buahan.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Makanan berkhasiat penting untuk perkembangan tumbesaran kanak-kanak. Bagaimanapun, lambakan makanan segera dilihat lebih menarik minat mereka berbanding makanan sihat se­perti sayur dan buah-buahan.

Ini ditambah pula dengan kebanjiran gajet yang 'mele­nyapkan' terus aktiviti fizikal kanak-kanak di luar rumah seperti bersukan, selain membataskan komunikasi antara mereka.

Gejala 'tidak sihat' ini secara tidak langsung membantutkan tumbesaran mereka, malah kekurangan aktiviti fizikal turut menyebabkan obesiti dalam kalangan kanak-kanak makin membimbangkan.

Profesor Madya di Jabatan Psikologi Universiti Sunway merangkap Penyiasat Kognitif untuk kajian Seanuts, Dr Alvin Ng Lai Oon menyelidik hubu­ngan antara status pemakanan dan prestasi kognitif mereka. Kajian dijalankan terhadap kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun di Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

"Hasil kajian itu mendapati sebahagian kanak-kanak di Malaysia mengalami kekura­ngan nutrisi (tubuh kurus, kurang berat badan dan ketinggian terbantut). Sebahagian lagi menghadapi masalah berlebihan nutrisi (berat badan berlebihan dan terlalu obesiti) dan mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk mendapat skor bawah purata 1Q.

"Atas sebab itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak mereka. Jangan biarkan mereka leka bermain gajet tanpa melakukan aktiviti fizikal di luar rumah," katanya dalam bengkel Tahap Kebijaksanaan Kebaikan Nutrisi untuk Perkembangan Bijak Si Manja yang bakal diadakan awal tahun depan.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Dr Alvin berkata, kanak-kanak belajar secara aktif dan pembangunan kognitif yang merujuk bagaimana mereka mengumpul, mengasingkan serta memproses maklumat di sekeliling.

"Mereka menggunakan maklumat itu untuk melihat, memahami serta mempelajari mengenai dunia. Dalam erti kata lain, kanak-kanak belajar dan memperoleh kepintaran serta kecerdikan ketika mental mereka berkembang.

"Tidak seperti pencapaian fizikal, misalnya kali pertama kanak-kanak mula berlari atau melompat, pencapaian kognitif atau kemajuan mental tidak jelas.

"Keupayaan menemui barang permainan ditutupi kain serta bentuk dan warnanya dipadam mungkin langkah fizikal, namun mereka memerlukan proses mental dan kebijaksanaan untuk melakukannya," katanya.

Ketua Program Sains Nutrisi Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Poh Bee Koon pula berkata, pemakanan faktor penting yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkemba­ngan berterusan mengikut peringkat umur.

"Kekurangan makanan sihat boleh mengakibatkan pertumbuhan fizikal terbantut, per­kembangan otak perlahan serta mengurangkan sistem imunisasi badan.

"Kajian prestasi kognitif Sea­nuts menunjukkan kesan pemakanan terhadap pembangunan mental dan kepintaran kanak-kanak. Hasil kajian itu menunjukkan sesuatu perlu diambil perhatian segera oleh ibu bapa dan pihak bertanggungjawab ke arah meningkatkan tahap kesihatan dan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak Malaysia," katanya.

Sementara itu, pakar perunding pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil berkata, ada beberapa pencapaian penting yang perlu ibu bapa perhatikan, termasuk pencapaian mental, fizikal, emosi dan sosial.

"Aspek pembangunan dan pencapaian kanak-kanak memboleh­kan ibu bapa mengawasi perkembangan serta tumbesaran anak mereka secara keseluruhan.

"Pakar biasanya menganggarkan keupayaan tumbesaran kanak-kanak melalui pemerhatian dan keterangan ibu bapa," katanya.

Dr Alvin turut berkata, pencapaian memberi pemahaman lebih jelas me­ngenai kemajuan kanak-kanak manakala perkembangan mental dan fizikal saling berkait rapat.

"Dari usia satu hingga dua tahun, daya penglihatan kanak-kanak lebih baik, keupayaan bergerak dan berjalan sendiri memboleh­kan mereka melihat, menyentuh dan merasa lebih banyak benda dan orang di sekeliling mereka.

"Inilah peringkat apabila sifat i­ngin tahunya meningkat dan membuatkan mereka mahu meneroka dunia dengan lebih banyak lagi.

"Pada usia dua hingga empat tahun, kemahiran motor mereka menjadi lebih baik, ditambah de­ngan kemahiran lisan yang lebih jelas membolehkan seseorang kanak-kanak meneroka dunia seperti dia tidak pernah lakukan sebelum ini. Oleh itu, sifat ingin tahu dan meneroka membentuk asas kepada pembelajaran dan apliksai terhadap apa yang dia belajar di kemudian hari," katanya.

Ditanya bagaimana khasiat nutrisi boleh membantu menyokong perkembangan mental kanak-kanak, Dr Alvin memberi contoh: "Bayangkan otak anak anda seperti laluan di jalan raya.

"Khasiat nutrisi penting yang anda beri akan memastikan permukaan jalan raya yang licin tanpa lubang dan aktiviti yang anda lakukan untuk merangsang otaknya seperti bermain dan berinteraksi adalah kereta yang bergerak di atas jalan terbabit.

"Khasiat yang betul membantu membina otak, rangsangan daripada ibu bapa dan penjaga membantu memperkembangkan sifat ingin tahu, mahu meneroka, kreativiti dan pembelajaran dalam erti perkataan lain, kebijaksanaan," katanya.

Bengkel Tahap Kebijaksanaan Kebaikan Nutrisi untuk Perkemba­ngan Bijak Si Manja terbuka kepada ibu bapa yang mempunyai anak ber­usia antara satu hingga enam tahun.

Dalam pada itu, Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Anje Henze berkata, antara penemuan penting kajian Seanuts ialah kajian kesihatan dan pemakanan dijalankan terhadap kanak-kanak di empat negara, termasuk Malaysia, menunjukkan tahap IQ (intelli­gence quotient) atau prestasi kognitif kanak-kanak dipengaruhi status makanan mereka.

"Dutch Lady Malaysia sebagai syarikat tenusu terulung menyedari keperluan berkongsi bersama ibu bapa mengenai pemakanan dari perspektif perkembangan mental kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:01 AM