EDDIE dan Nurhasinah.
EDDIE dan Nurhasinah.
EDDIE dan Nurhasinah mengeluarkan produk sendiri.
EDDIE dan Nurhasinah mengeluarkan produk sendiri.
Siti Zarinah Sahib

Mendengar kisah pasangan suami isteri ini tentunya ia memberikan inspirasi kepada sesiapa saja untuk memulakan perniagaan. Ini kerana bagi sesetengah individu berniaga memerlukan modal yang banyak. Sebenarnya tidak, tanpa modal sesiapa juga mampu menjana pendapatan sehingga mencecah puluhan ribu asalkan tahu caranya.

Bagi usahawan muda Che Eddie Asuan Che Aziz, 23, atau lebih dikenali sebagai Eddie Asuan dia mula berniaga pada usia 21 tahun tanpa modal hanya sebagai ejen dropship menjual monopod.

“Ketika itu saya masih menuntut dalam jurusan diploma perniagaan di Politeknik Shah Alam. Keuntungan yang saya peroleh ketika itu sekitar RM5 hingga RM15 saja. Sebagai pelajar tentulah ianya sangat menggembirakan dan menyuntik semangat untuk terus meningkatkan hasil jualan,” katanya.

Selepas tamat pengajian, disebabkan keinginan menambah ilmu mengenai bisnes sangat menebal, Eddie menyertai pelbagai seminar keusahawanan dan bersahabat dengan rakan yang turut berniaga. Pada masa yang sama seorang sahabat memesan 100 monopod dari China.

Disebabkan ketika itu Eddie belum bekerja dia mengambil inisiatif untuk menjual monopod menerusi dalam talian di Facebook dan Instagram.

“Dengan ilmu pemasaran yang saya pelajari dan amalkan, dalam tempoh kurang sebulan 100 monopod habis terjual. Saya terpaksa menambah stok disebabkan permintaan sangat tinggi. Namun pada waktu memuncak ramai pesaing mula menjual pada harga jauh lebih murah. Ini menyebabkan saya terpaksa mencari alternatif lain dengan mempelbagaikan produk,” katanya.

Antara produk yang dipasarkan adalah aksesori telefon bimbit seperti powerbank dan FisheyeLens. Namun Eddie tidak menjual secara bersendirian sebaliknya mencari ejen dropship menerusi Instagram sehingga berjaya mengumpul hampir 450 ejen di seluruh Malaysia.

Eddie tidak membiarkan ejennya begitu saja sebaliknya mengajar mereka teknik menghasilkan jualan dengan hanya duduk di rumah. Kebanyakan ejen adalah pelajar universiti yang ingin mencari pendapatan sambilan.

“Dengan adanya 450 ejen saya tidak sangka jualan menjadi ‘huru-hara’. Pesanan menerusi WhatsApp mencecah 100 hingga 200 sehari menyebabkan bahagian pengeluaran jadi tidak menentu.

“Bayangkan dengan tiada pekerja semua perkara saya lakukan sendiri termasuk membungkus barang, mengepos dan mengambil stok. Apabila keadaan tidak ‘terkawal’ saya terpaksa meminta emak dan abang untuk sama-sama membungkus barang di rumah dengan memberikan mereka upah bekerja.

“Saya pula terpaksa mengambil beberapa pekerja yang ditugaskan menjawab pesanan menerusi WhatsApp dan membungkus barang. Keadaan ini juga memaksa saya menyewa ruang pejabat bagi memudahkan urusan menyimpan stok dan menjalankan kerja pejabat,” katanya.

Bermula zaman kejatuhan

Sampai satu masa Eddie mendapati teknik pemasaran yang diamalkan menjadi kurang berkesan. Iklan yang dijalankan menerusi Facebook dan Instagram tidak lagi mampu menarik pelanggan. Ini menyebabkan pendapatan bersih yang diperoleh sekitar RM30,000 hingga RM40,000 sebulan merosot teruk.

“Saya cuba mencari puncanya. Selepas muhasabah diri saya mula menyedari yang saya mulai lalai mengingati Allah. Disebabkan terlalu sibuk bekerja saya mula lewatkan solat dan meninggalkan sedekah.

“Lalu saya kembali mendekatkan diri kepada Allah, bersyukur dan memperbanyakkan sedekah. Alhamdulillah hidup kembali tenang perniagaan saya berkembang semula,” katanya yang mula beralih kepada menjual produk membakar lemak pula kerana tidak suka kekal dengan satu produk saja.

Tidak sangka dengan mengamalkan ilmu yang dipelajari menerusi seminar perniagaan, produk membakar lemak ini Eddie berjaya mengumpul 50 ejen di seluruh Malaysia sehing­ga terpilih sebagai stokis terbaik selama sembilan bulan berturut-turut.

“Sudah tentu kejayaan ini sangat membanggakan kerana ia membuktikan dengan ilmu dan teknik yang betul sesiapa juga boleh berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Hasilkan produk sendiri

Berkahwin pada usia 23 tahun dengan pasangan hati Nurhasinah Mohd Idris, Eddie semakin yakin dan bersemangat untuk terus membina empayar perniagaan sendiri.

Dengan semangat yang diberikan Nurhasinah, Eddie mula terfikir sampai bila mahu menjual produk orang lain.

“Selepas membuat kajian dan meneliti kehendak pasaran akhirnya kami mengeluarkan produk Deina iaitu untuk pelangsingan dan menurunkan kolesterol. Sejak dikeluarkan dua bulan lalu hampir 2,000 botol sudah dijual menerusi sistem ejen,” kata Eddie.

Mereka memanfaatkan kelebihan masing-masing sebaik-baiknya - Eddie di bahagian operasi dan pemasaran manakala Nurhasinah dalam kewangan - menjadikan perniagaan suami isteri ini bertambah mantap.

Dengan pendapatan sekitar RM120,000 sebulan, bagi Eddie sesiapa juga boleh berjaya asalkan mempunyai ilmu memasarkan produk serta mentor dalam bisnes, selain perlu bertindak bagi memastikan apa yang dipelajari dipraktikkan dengan betul.

“Jangan terburu-buru menghasilkan produk sendiri walaupun anda lahir dalam keluarga berpendapatan tinggi. Sebaliknya gunakan modal paling rendah atau menjadi ejen dropship terlebih dulu kerana tidak memerlukan modal dan tak perlu menyimpan stok.

“Paling penting jaga hubungan dengan Allah, solat pada awal waktu, sedekah dan bersyukur. Walaupun sedikit yang anda peroleh perlu bersyukur bagi mendapat rezeki lebih besar,” katanya yang turut mengadakan seminar pemasaran untuk stokis dan ejen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 11:22 AM