PENGERUSI UMW Toyota, Tan Sri Asmat Kamaludin (dua dari kanan) bersalaman dengan Pegawai Pengurus Toyota Motor Corporation, Tatsuro Takami  sambil diperhatikan Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama (kiri) dan  Ismet  pada sidang akhbar mengumumkan pembinaan kilang pengeluaran kereta penumpang baru di Malaysia.
PENGERUSI UMW Toyota, Tan Sri Asmat Kamaludin (dua dari kanan) bersalaman dengan Pegawai Pengurus Toyota Motor Corporation, Tatsuro Takami sambil diperhatikan Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama (kiri) dan Ismet pada sidang akhbar mengumumkan pembinaan kilang pengeluaran kereta penumpang baru di Malaysia.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor) akan membangunkan kilang pengeluaran kereta penumpang baru terletak di Bukit Raja, Klang membabitkan pelaburan sebanyak RM2 bilion.

Presidennya, Datuk Ismet Suki berkata, pembinaan kilang di kawasan seluas 670,000 meter persegi itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai separuh kedua tahun ini dan dijangka mula beroperasi secara rasmi menjelang 2019.

“Kilang ini juga akan mengeluarkan kenderaan cekap tenaga (EEV) selain menumpukan kepada model baru kenderaan Toyota,” katanya pada sidang media mengumumkan pembangunan kilang itu, di sini, semalam.

Beliau berkata, pada awal operasinya, kilang pengeluaran kenderaan penumpang itu dijangka mengeluarkan 50,000 unit kenderaan setahun namun, secara keseluruhan UMW Toyota Motor dapat menghasilkan sehingga 100,000 kenderaan.

“Untuk kilang baru ini nanti, kapasiti pengeluaran mampu mencecah sehingga 50,000 kenderaan setahun, namun dengan menggabungkan keupayaan kilang sedia ada di Shah Alam, kami mampu menghasilkan sehingga 100,000 kenderaan setahun.

“Malah, kilang di Shah Alam akan dinaik taraf dengan peralatan lebih canggih dan akan memberi penumpuan kepada penghasilan kenderaan komersial saja,” katanya.

Menurutnya, dana untuk membangunkan kilang baru berkenaan adalah hasil daripada sumber dalaman dan ia tidak membabitkan sebarang pembiayaan daripada pihak luar.

“Kami mengambil masa yang agak lama merancang pembinaan kilang baru ini dan mampu membiayai dengan sumber kewangan sendiri.

“Ia sangat bermakna untuk syarikat memandangkan kilang baru ini akan memberikan persekitaran kerja yang lebih baik untuk kakitangan khususnya dengan peralatan dan kelengkapan yang lebih baik.

“Walaupun ia dikendalikan sepenuhnya secara automatik, namun kami memberi jaminan bahawa tidak ada kakitangan yang akan kehilangan pekerjaan,” katanya.

Selain menghasilkan kenderaan model baru Toyota, kilang baru itu juga akan menempatkan Toyota Boshoku UMW, syarikat kerjasama antara UMWT dan Toyota Boshoku Corporation yang menghasilkan tempat duduk dan komponen dalaman kenderaan Toyota.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 5:58 AM