NUR Jazlan (dua kanan) mendengar penerangan cara menanam sayur kobis berteknologi moden daripada Penolong Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Johor Bahru, A Aziz Karim (kanan). FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
NUR Jazlan (dua kanan) mendengar penerangan cara menanam sayur kobis berteknologi moden daripada Penolong Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Johor Bahru, A Aziz Karim (kanan). FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menubuhkan pasukan khas bagi menyelesaikan isu kelemahan membabitkan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) secara keseluruhan sekaligus dapat menaiktaraf sistem sedia ada.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata MyIMMS yang merangkumi tiga komponen utama iaitu aplikasi, rangkaian dan pusat data perlu menampung keperluan ciri-ciri keselamatan terkini bukan saja merekodkan pergerakan keluar masuk tetapi mengesahkan identiti mereka.

Katanya, mengambil contoh pelaksanaan sistem pengecaman wajah pada awal bulan ini, aplikasi komputer berkenaan bagi mengenal pasti atau mengesahkan identiti sebenar seseorang individu sebelum dilepaskan dari pintu keluar masuk.

"Masalahnya penambahbaikan sistem bukan dibuat oleh syarikat yang membina MyIMMS, iaitu HeiTech Padu Berhad dan sebab itu berlaku masalah.

"Sebagai sistem pokok, MyIMMS juga sepatutnya boleh diubahsuai untuk kegunaan semasa tetapi ia tidak dibuat kerana sistem MyIMMS adalah sistem lama dan tidak fleksibel untuk diubahsuai dan sebab itu perlunya penubuhan pasukan khas bagi menangani isu kelemahannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Pertanian Berteknologi Tinggi di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, hari ini.

Program anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pulai bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dihadiri kira-kira 120 peserta untuk mempelajari pelbagai teknik pertanian bandar bagi menjana pendapatan sampingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 3:35 PM