Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Perodua Kancil antara kereta kompak yang pernah menjadi kegilaan peminat kaki modifikasi di negara ini. Rupa bentuknya yang kecil dan dikategorikan sebagai K-Car mendapat perhatian kerana murah serta alat gantian mudah diperoleh.

Bagi mekanik motosikal di Taiping, Perak, Mohd Shah Yusof, 35, jentera Perodua Kancil keluaran 1995 dimilikinya bukan jentera kompak seperti yang lain berikutan sudah melakukan modifikasi secara ekstrem pada luaran dan dalaman.

Selain memiliki enjin berkuasa, sistem audio berkualiti turut melengkapi jentera itu untuk memberikan pakej lengkap sebagai peminat tegar dalam dunia permotoran.

Ia menerima suntikan enjin daripada Daihatsu Mira L200S dengan melakukan pengubahsuaian membabitkan penukaran blok bersaiz 73 milimeter daripada Perodua Kancil 850.

Pemasangan omboh bersaiz besar dikatakan meningkatkan sesaran enjin sehingga dua kali ganda, selain dibantu dengan bantuan sistem turbo serta penyejuk jenama bagi melonjakkan prestasinya.

Pelbagai aksesori tambahan pada bahagian enjin digunakan bagi menyerlahkan lagi keunikan dengan padanan ekzos binaan khas yang disalurkan kepada peredam jenama Jasma.

Bahagian luaran pula, kit badan jentera menerima sentuhan daripada Daihatsu Mira yang diserikan pelekat badan rekaan tersendiri, sementara sudut dalaman masih dikekalkan dengan komponen asal tetapi dimeriahkan aksesori bersinar seolah-olah batu permata.

Turut mencuri tumpuan pada bahagian papan pemuka apabila dibaluti dengan kain bercorak seperti kulit harimau.

Bagi sistem audionya, ia dikuasai pemain cakera Pioneer DVH-345UB yang dihubung ke dua amplifier berkuasa Holywood 2,400 watt satu hala dan Ex-Spider 2,400 watt dua hala.

Kemudian, bunyi audio terbabit dihamburkan melalui dua woofer bersaiz 12 inci Ex-Spider yang berkekuatan 1,200 watts setiap satu. Tambahan empat pembesar suara Ex-Spider 6.5 inci berkekuatan 300 watts juga memantapkan lagi bunyi yang diperkuatkan dua twiter 250 watt.

Biarpun jentera itu kecil, kos untuk mengubah jentera sehingga ke tahap berkenaan menelan belanja lebih RM30,000.

INFO

PERODUA KANCIL 660 (1995)

- Ubah suai enjin:

• Daihatsu Mira L200S

• Omboh 73mm Perodua Kancil 850

• Intercooler Apexi

• Ekzos Jasma Racing

- Ubah suai sistem audio:

• Pemain cakera Pioneer DVH-345UB

• Amplifier Holywood 2,400 watt satu hala

• Amplifier Ex-Spider 2,400 watt dua hala

• Dua woofer Ex-Spider 12 inci 1,200 watt

• Empat pembesar suara Ex-Spider 300 watt

• Dua twiter 250 watt

- Kos ubah suai:

• RM30,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:00 AM