Ustaz Haslin Baharim


Suatu ketika, saya mendapat tahu mengenai saudara yang tinggal jauh meninggal dunia. Untuk sedekah bacaan Yasin, saya dalam keadaan uzur. Justeru, adakah amalan atau doa yang boleh disedekahkan untuk orang yang meninggal dunia apabila seseorang wanita dalam keadaan haid ?

AMY, Balik Pulau

Membaca surah Yasin kepada orang meninggal adalah sesuatu yang disarankan Rasulullah SAW dengan sabdanya bermaksud: “Bacalah surah Yasin kepada orang-orang mati di antara kamu semua.” (HR Abu Dawud)

Bacaan hendaklah betul dan ikhlas kerana Allah SWT.

Sedia maklum, mereka yang haid dilarang membaca al-Quran, akan tetapi ada amalan yang boleh diamalkan seperti doa, bersedekah, berwakaf, istighfar mohon keampunan dan rahmat Allah SWT ke atas arwah yang meninggal.

Apa yang perlu ditekankan adalah keikhlasan dalam melakukan ibadat, dilakukan dengan sukarela, tanpa imbuhan dan jauh daripada sifat mazmumah seperti riak, ujub dan takbur.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azzawajalla tidak menerima suatu amal, kecuali jika dikerjakan murni kerana-Nya dan mengharap keredaan-Nya.” (HR An-Nasaei)

Saudari boleh berdoa sebanyak-banyaknya dengan hadis diajarkan Rasulullah SAW.

Antaranya bermaksud: “Rasulullah SAW telah melakukan solat jenazah, lalu aku mendengar Baginda berdoa. “Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya.

“Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran.

“Gantikanlah rumahnya yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya.

“Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. Auf berkata: Aku berharap biarlah aku menjadi mayat itu kerana doa Rasulullah SAW ke atas mayat berkenaan.” (HR Muslim )

Sabda Baginda SAW bermaksud; “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.” (HR Abu Daud). Wallahuaklam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 1:07 AM