Hasan (kiri) bersama timbalannya Dr Tan Seng Giaw menunjukan buku Laporan Ketua Audit Negara 2015 dan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2015 di Sidang Akhbar Laporan Ketua Audit Negara 2015 di Bangunan Sementara Parlimen. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hasan (kiri) bersama timbalannya Dr Tan Seng Giaw menunjukan buku Laporan Ketua Audit Negara 2015 dan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2015 di Sidang Akhbar Laporan Ketua Audit Negara 2015 di Bangunan Sementara Parlimen. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil tiga pihak iaitu Jabatan Imigresen, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Air Negeri Sabah dalam prosiding PAC dalam masa terdekat.

Pengerusinya Datuk Hasan Arifin berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendengar taklimat Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berhubung Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1 Tahun 2015 dan Penyata Kewangan Kerajaan Tahun 2015 di Dewan Rakyat pagi tadi.

"Selepas mendengar taklimat berkenaan, cadangan isu dipanggil untuk Prosiding PAC bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelaksanaan sistem imigresen Malaysia (myIMMs), pengurusan pembinaan dan pembaikan rumah mangsa banjir serta program bekalan air luar bandar (BALB) di Sabah," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Hasan berkata, berdasarkan LKAN siri 1/2015, bagi pengesahan penyata kewangan 2015, sejumlah 29 kementerian, jabatan, badan berkanun persekutuan menerima Sijil Tanpa Teguran.

"Manakala lima badan berkanun persekutuan & kumpulan wang menerima Sijil Berteguran dan satu badan berkanun persekutuan dan kumpulan wang menerima Sijil Dislaimer," katanya.

Sementara itu, ditanya bila laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dikeluarkan, beliau berkata, ia terpulang kepada Kabinet menentukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 4:47 PM