MENTERI Pertahanan Luis Carlos Villegas (tengah) memeriksa bungkusan kokain yang dirampas.
MENTERI Pertahanan Luis Carlos Villegas (tengah) memeriksa bungkusan kokain yang dirampas.

Bogota: Polis Bogota berkata semalam, mereka membuat rampasan terbesar dadah di negara itu membabitkan 8.8 tan kokain yang dianggarkan bernilai AS$240 juta (RM965 juta).

Dadah berkenaan dirampas daripada kumpulan Usuga Clan - rangkaian jenayah terancang terbesar negara itu - di sempadan dengan Panama.

Kejayaan itu turut diraikan Presiden Juan Manuel Santos yang mengucapkan tahniah kepada polis Colombia di Twitter.

Dalam kenyataannya Ahad lalu, polis berkata rampasan itu hasil serbuan di Uraba berhampiran sempadan Panama, tempat lapan tan kokain ditemui disorokkan di dalam ladang pisang.

Tiga suspek ditahan manakala tiga lagi berjaya melarikan diri.

Menteri Pertahanan Luis Carlos Villegas berkata, hampir 1.5 tan kokain sudah dibungkus dan sedia untuk dieksport.

Katanya, jumlah itu adalah yang terbesar dirampas di darat negara itu. Jumlah lebih besar daripada itu pernah dirampas di laut.

Pihak berkuasa berkata, Usuga Clan menjual kokain dari Colombia ke Amerika Tengah dan Amerika Syarikat. Colombia negara pengeluar utama koka, bahan asas untuk menghasilkan kokain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 11:03 AM