Abu Bakar menunjukkan slip gaji salah seorang pengawal keselamatan. FOTO Rahmat Othman
Abu Bakar menunjukkan slip gaji salah seorang pengawal keselamatan. FOTO Rahmat Othman
Norul Awatif Romli


Pendang: Lebih 1,000 pengawal keselamatan sekolah di seluruh negeri ini menggesa lebih 50 syarikat pengawal keselamatan membayar gaji minimum sebanyak RM900 selain memansuhkan tempoh percubaan tiga bulan kepada pengawal.

Yang di-Pertua Persatuan Kebajikan Keselamatan negeri Abu Bakar Senawi berkata, tindakan sesetengah syarikat yang gagal berbuat demikian mengakibatkan kehidupan pekerja tertekan selepas mendakwa majikan gagal membayar gaji minimum berkenaan, selain gagal membuat bayaran kerja lebih masa seperti ditetapkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Perkara ini sudah berlarutan sejak dua tahun lalu walaupun kerajaan sudah mengumumkan mengenai isu gaji minimum, namun ada majikan yang tetap ingkar dan memandang ringan soal pembayaran gaji minimum sebanyak RM900 ini.

"Ada syarikat meletakkan syarat tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum melaksanakan gaji minimum RM900, tapi selepas tamat tempoh itu pembayaran tetap sama iaitu gaji pokok sebanyak RM630 sebulan selain ada yang memotong bayaran kerja lebih masa," katanya pada sidang media selepas mengadakan perhimpunan aman di Sekolah Kebangsaan Pendang, di sini, hari ini.

Pada perhimpunan itu, hampir 50 pengawal keselamatan membabitkan empat syarikat pengawal keselamatan di seluruh negeri hadir sebagai bantahan selepas mendakwa majikan mereka ingkar membayar gaji minimum berjumlah RM900 sejak Januari lalu.

Pada masa sama, Abu Bakar berkata, terdapat juga majikan bertindak menindas pekerja secara halus apabila mengambil wang pekerja setiap bulan atas alasan dicarumkan bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kami semua ingin tahu ke mana wang (caruman KWSP) itu pergi sedangkan duit kami untuk tujuan berkenaan dipotong setiap bulan, tapi ia tiada dalam akaun KWSP.

"Pada masa sama, kami menggesa majikan membayar semua wang tunggakan gaji minimum sepanjang tempoh percubaan bermula Januari lalu jika tidak mahu perkara ini terus berpanjangan," katanya.

Hadir sama pada perhimpunan aman itu ialah wakil dari sebuah syarikat pengawal keselamatan mengadakan perbincangan bersama pekerja dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah Pendang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 2:32 PM