SKUAD Piala Thomas dan Uber negara di KLIA sebelum berlepas ke Kunshan, China semalam.
SKUAD Piala Thomas dan Uber negara di KLIA sebelum berlepas ke Kunshan, China semalam.
Saiful Affendy Sapran & Ferzalfie Fauzi

Sepang: Empat hari sebelum bermulanya saingan Piala Thomas dan Uber Ahad ini, tekanan sudah mula dirasai barisan pemain negara terutama barisan pemain muda dalam menghadapi kejohanan berpasukan paling berprestij di Kunshan, China.

Pemain perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin umpamanya tidak menolak faktor itu kerana dia dijangka bakal menggalas tanggungjawab selaku perseorangan kedua negara.

Meskipun pernah merasai aura kejohanan itu ketika dibawa selaku rakan sepelatih di New Delhi, India dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara Piala Thomas, namun jelasnya, cabaran kali ini cukup berbeza.

“Saya tak nafikan tekanan itu memang ada, lebih-lebih lagi apabila beraksi dalam acara berpasukan.

“Piala Thomas kejohanan berpasukan berprestij dunia, jadi saya harap barisan pemain senior dapat membantu saya.

“Ia mungkin sedikit sebanyak akan membolehkan saya beraksi pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Kunshan, China semalam.

Turut merasai tekanan itu pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei yang turut menggalas tugas selaku perseorangan kedua skuad Piala Uber.

“Beberapa hari lalu ketika menyertai kem latihan pusat bersama rakan sepasukan lain saya tak ada rasa tekanan.

“Tapi sekarang apabila kejohanan semakin hampir, tekanan itu mula dirasai,” kata pemain berusia 16 tahun itu.

Skuad Piala Thomas negara akan bertemu England pada perlawanan pertama Kumpulan C, Ahad ini manakala skuad Piala Uber bakal bertemu China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 7:34 AM