LUMUT di bongkah batu gergasi di Gunung Berantai kelihatan seperti mati disebabkan cuaca panas akibat fenomena El Nino.
LUMUT di bongkah batu gergasi di Gunung Berantai kelihatan seperti mati disebabkan cuaca panas akibat fenomena El Nino.
MAZLAN , 35, (duduk tengah) bersama rakan pendaki bergambar kenangan di puncak Gunung Berantai di Kampung Jara, Maran.
MAZLAN , 35, (duduk tengah) bersama rakan pendaki bergambar kenangan di puncak Gunung Berantai di Kampung Jara, Maran.
DAHAN, ranting dan akar pokok yang tumbuh berselirat memerlukan pendaki lebih berhati-hati ketika menuju puncak Gunung Berantai.
DAHAN, ranting dan akar pokok yang tumbuh berselirat memerlukan pendaki lebih berhati-hati ketika menuju puncak Gunung Berantai.
ANTARA spesies pokok balak menuju puncak Gunung Berantai.
ANTARA spesies pokok balak menuju puncak Gunung Berantai.
Ainal Marhaton Abd Ghani

Tingginya cuma 769 meter dari paras laut dan treknya kira-kira lima kilometer, tetapi untuk mendakinya, anda perlu mengambil masa sekurang-kurangnya empat jam dan tiga jam lagi untuk turun melalui trek sama.

Itulah ‘seksaan’ yang dihadapi pendaki Gunung Berantai di Kampung Jara, Maran, Pahang.

Bagaimanapun, bagi peminat tegar, Gunung Berantai perlu diredah untuk menguji ketahanan mental dan fizikal.

Apa tidaknya, ketika mendaki, mereka perlu memanjat bongkah batu, laluan berbukit yang curam serta melalui celah akar dan pokok besar.

Bagi yang sukakan panorama dan keindahan semula jadi yang masih dilitupi hutan dara, tempoh mendaki mungkin lebih lama untuk merakam gambar menarik sepanjang trek sejauh lima kilometer itu.

Tiada istilah berpatah balik selagi perjalanan ke puncak belum selesai walaupun wajib melalui laluan berbukit dan berbatu.

Gunung Berantai yang terletak dalam Hutan Simpanan Kekal Berkelah mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang mungkin tidak dimiliki gunung lain di negara ini.

Apa tidaknya, pendaki akan ‘dipertemukan’ dengan dua bongkah batu besar dan perlu menggunakan tali untuk memanjat sebelum meneruskan pendakian!

Seperti dalam filem fantasi ketika mengintai atau menjenguk ke bawah, pendaki sebenarnya berada di atas bongkah batu berkenaan yang strukturnya diperkuatkan dengan akar pokok yang tumbuh di atas permukaannya.

Mungkin pada pandangan mata kasar batu itu sekadar bongkah biasa, tetapi jika diteliti lebih dekat, ia bagaikan disusun rapi dan bertingkat-tingkat.

Pendaki, Mazlan Abu Seman, 35, berkata, ramai masih tertanya-tanya bagaimana gunung ini diberi nama Gunung Berantai.

“Apabila ditanya penduduk kampung, mereka juga tidak tahu bagaimana dan ‘mengapa’ namanya Gunung Berantai. Apabila tiba di puncak bukit, ia sudah ditanda dan dinamakan sebagai Gunung Berantai,” katanya.

Menurutnya, di peringkat permulaan trek, pendaki disajikan pemandangan menghijau kebun pisang dan sawit di kaki gunung menuju ke sebatang anak sungai berbatu.

“Namun, musim panas akibat fenomena El Nino sekarang menyebabkan sungai menjadi kering,” katanya ditemui pada ekspedisi mendaki gunung itu, baru-baru ini.

Katanya, disebabkan masih kurang pendedahan dengan aktiviti pendakian, trek agak sukar dikesan kerana ditutupi dedaunan mati yang tebal dan hanya berpandukan pada tali penanda keselamatan oleh pendaki sebelumnya untuk mengelak jejak tersasar dari trek pendakian sebenar.

Ekspedisi diteruskan dengan merentasi hutan tebal dan berpeluang menjumpai pelbagai jenis tumbuhan liar termasuk herba selain kesan jejak haiwan dan pokok peneduh atau kanopi.

“Terasa sedikit sejuk jika dilalui waktu pagi kerana cahaya matahari belum menembusi kawasan hutan,” katanya.

Memasuki jam kedua atau selepas tiga kilometer, pendaki akan memanjat bongkah batu bersaiz gergasi yang menandakan bermulanya cabaran sebenar Gunung Berantai.

Laluan berbatu sejauh dua kilometer menguji ketangkasan dan kecekapan peserta apabila setiap langkah di atas batu yang kadangkala licin berlumut. Jika ada yang terjatuh, ia insiden biasa.

Menurutnya, laluan semakin menegak pada kecerunan antara 45 hingga 90 darjah memaksa pendaki mengawal pernafasan agar tidak semput atau mengah sebelum berjumpa susunan batu gergasi yang unik.

“Kali ini pendaki perlu memanjat batu dengan berhati-hati kerana tersilap langkah, tiada halangan untuk telentang.

“Jika kumpulan besar, ia mengambil masa lebih lama di sini kerana pendakian hanya boleh dilakukan seorang demi seorang,” katanya.

Menurutnya, arahan daripada rakan yang memberitahu kedudukan untuk memijak sangat membantu bagi mengelak insiden tergelincir atau cedera.

Di laluan ini juga pendaki akan melalui permatang dan perlu lebih berhati-hati untuk mengelak daripada terjatuh.

“Dapat dilihat pokok besar hidup subur menghijau di atas bongkah batu itu.

“Ini bermakna, akar pokok juga mengukuhkan kedudukan bongkah batu ini dengan erat sekali dan jika diganggu ‘persahabatan’ ini (penebangan hutan), kemusnahan pasti terjadi,” katanya.

Lumut pada bongkah batu pula kelihatan kering dan hampir mati kerana musim panas.

Meneruskan pendakian, pendaki pasti teruja apabila bersua pelbagai jenis pokok sebesar pemeluk orang dewasa atau banirnya yang boleh dijadikan tempat berlindung atau tempat rehat sementara selepas penat mendaki.

Lebih mengujakan apabila tanpa disedari dan masih berkira-kira bila waktunya untuk sampai ke puncak, pendaki bertemu pula de­ngan sebatang pokok besar bercabang lima di bahagian tengahnya.

“Tiada siapa boleh merungkaikan rahsia alam ini kerana kewujudannya begitu menakjubkan.

“Ia anugerah Allah untuk dilindungi dan dijaga sebaik mungkin buat selamanya,” katanya.

Mazlan berkata, pendakian di celah pokok besar yang tersusun secara semula jadi meninggalkan kenangan manis kepada pendaki.

Pendaki yang bakal bertemu beberapa spesies serangga dan tumbuhan yang jarang ditemui menambahkan lagi keunikan hutan dara itu.

Jurupandu pelancong bebas Muhammad Arif Abdul Rafar, 32, berkata, pendaki dapat melihat pemandangan dengan jelas ketika berada di atas bongkah batu gergasi kedua.

“Dari kedudukan ini dapat dilihat dengan jelas kawasan ladang yang sedang diusahakan di tapak permulaan pendakian,” katanya.

Tetapi, jangan berangan untuk melihat ‘dunia’ saujana mata memandang kerana puncaknya walaupun agak luas, ia sedikit terlindung dengan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan menjadikan penglihatan jarak jauh agak terhad berbanding puncak gunung lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 5:08 AM