PATI yang ditahan. FOTO ihsan APMM
PATI yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Rudy Fazrunisyam Samarudin

Johor Bahru: Seramai 80 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika cuba keluar ke Indonesia menerusi perairan Pengerang, Kota Tinggi, 8.55 malam tadi.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Sistem Pengawasan laut (SWASLA) di Pengerang yang mengesan sebuah bot pancung dengan kelajuan mencurigakan pada 7.10 malam.

Katanya, bertindak daripada maklumat itu, sebuah bot ronda APMM yang melakukan rondaan rutin di kawasan berdekatan diarahkan ke lokasi dan hasilnya pada 8.55 malam menjumpai bot pancung terbabit di kedudukan 4.1 batu nautika selatan Tanjung Ayam.

"Bot pancung berkenaan berjaya dipintas dan ditahan. Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong dan tiga pembantu serta membawa 76 penumpang termasuk tujuh wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

"Semua yang berusia empat hingga 64 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah dan berasal dari Indonesia," katanya.

Menurutnya, mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-Langkah Khas) 2012 dan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 kerana keluar melalui laluan yang tidak diwartakan dan Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 1:06 PM