BERGEMBIRALAH dan dalam masa sama terhindar daripada risiko penyakit jantung.
BERGEMBIRALAH dan dalam masa sama terhindar daripada risiko penyakit jantung.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tiga faktor utama yang sering dikaitkan sebagai penyebab penyakit tidak menular seperti serangan jantung adalah kerap merokok, kurangnya aktiviti fizikal dan pengambilan makanan yang tidak seimbang.

Kebanyakan wanita beranggapan penyakit ini lebih cenderung menyerang kaum lelaki, namun hakikatnya serangan jantung boleh berlaku pada sesiapa saja tanpa mengira jantina. Wanita yang sudah menopaus mempunyai risiko sama tinggi dengan lelaki untuk mendapat serangan jantung.

Menjaga kesihatan jantung sebenarnya tidaklah sukar jika menjalankan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat bukan saja akan meningkatkan kualiti kehidupan malah mengurangkan risiko diserang penyakit ini.

Di sini terdapat beberapa langkah mudah yang anda boleh lakukan bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.

Berjemur

Sinar matahari mengandung vitamin D yang dapat meminimumkan pembentukan plak pada pembuluh darah. Kajian Universiti California menunjukkan wanita yang mendapat vitamin D yang tinggi kurang 31 peratus risiko menghidap penyakit jantung. Maka berjemur pada waktu pagi iaitu sebelum jam 10 pagi selama 20 hingga 30 minit mampu membantu anda mendapat vitamin D yang mencukupi.

Pengambilan coklat

Makanan ini sering kali dihindari kerana dianggap menyebabkan kegemukan, tetapi jangan salah faham kerana coklat juga mempunyai manfaatnya tersendiri sekiranya diambil dalam kuantiti yang betul. Coklat mengandungi magnesium yang dapat menurunkan kadar kolesterol. Kandungan salah satu lemak dalam coklat didapati untuk jantung. Pastikan coklat yang anda ambil mengandungi 70 peratus koko untuk mendapatkan manfaatnya.

Olahraga atau bersukan

Jantung adalah otot yang perlu dilatih secara teratur supaya tetap dalam keadaan baik. Kegiatan aktif seperti berjalan cepat, berenang, joging atau bersukan dapat memberikan latihan terbaik buat jantung anda.

Jurnal Perubatan New England melaporkan, dengan melakukan senaman ringan seperti berjalan cepat selama dua hingga lima jam seminggu dapat mengurangkan satu pertiga risiko serangan jantung dan strok.

Aktiviti itu juga dapat meningkatkan kadar kolesterol baik dalam darah, namun anda perlulah berbincang dengan doktor sebelum memulakan melakukan olahraga.

Pengambilan makanan laut

Makanan yang berasal dari laut dapat melindungi jantung anda kerana mengandung lemak omega-3 yang dapat menurunkan risiko serangan jantung, kadar kolesterol jahat, tekanan darah tinggi dan penggumpalan darah. Namun perlu diingat, ambillah makanan ini dalam kuantiti yang sederhana supaya tidak terkena serangan penyakit lain akibat terlebih pengambilan makanan laut.

Berhenti merokok

Rokok mengandung lebih 600 bahan kimia yang dapat merosakkan sel salur darah. Hal itu menyebabkan peningkatan kolesterol dalam jantung. Percayalah selepas anda berhenti merokok, risiko untuk mendapat penyakit jantung menurun hingga 50 peratus.

Bergembiralah

Dengan ketawa atau bergembira anda dapat menghilangkan tekanan minda. Tekanan itu sendiri boleh menjadi antara faktor risiko mendapat sakit jantung atau menyebabkan lain-lain faktor risiko menjadi lebih buruk. Contohnya ketika dalam keadaan tertekan, tekanan darah meningkat, kita mungkin akan makan banyak, malas bersenam dan mempunyai kecenderungan untuk merokok yang semuanya menjadi faktor risiko sakit jantung. Jadi belajarlah mengawal tekanan dan cuba lakukan perkara yang menggembirakan setiap hari.

Jangan lupakan gigi

Menurut kajian yang dilakukan Hospital Pergigian Sidney pada 2006, bakteria boleh memasuki pembuluh darah melalui gusi yang tidak sihat. Hal ini menyebabkan radang yang merosakkan lapisan arteri. Beruslah gigi anda sekurang-kurangnya dua kali sehari dan berjumpalah dengan doktor gigi anda secara teratur.

Tidur cukup tidur

Individu yang tidur kurang daripada lima jam cenderung mengalami pengumpulan mineral kalsium dalam pembuluh darah jantung dan ia boleh pecah dan menimbulkan serangan jantung dan strok. Waktu tidur yang sepatutnya adalah enam hingga tujuh jam sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:00 AM