AHMAD Zahid disambut anggota Rela ketika majlis Pemimpin Bersama Rela. FOTO Muhd Zaab Zakeria
AHMAD Zahid disambut anggota Rela ketika majlis Pemimpin Bersama Rela. FOTO Muhd Zaab Zakeria
Yusmizal Dolah Aling


Serian: Anggota RELA di negeri ini perlu terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem bagi menjamin kesinambungan pembangunan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan setiap ahli RELA akan memberi makna dan boleh menentukan kemenangan Barisan Nasional di Sarawak.

Berucap pada Program Pemimpin Bersama RELA di sini, hari ini, beliau sempat berseloroh dengan empat calon BN iaitu Datuk Seri Michael Manyin (Tebedu), John Ilus (Bukit Semuja), Datuk Roland Sagah (Tarat) dan Martin Ben (Kedup) supaya kerap turun padang bertemu anggota RELA.

"Jangan hanya masa pilihan raya jumpa RELA. Bila menang jumpa mereka. Saya akan pantau, kalau tak turun (jumpa), saya tahu nak buat apa," katanya pada majlis yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot dan Ketua Pengarah RELA Datuk Kamariah Mohd Noah.

Pada majlis itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyampaikan watikah pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo serta menyerahkan Pakaian Operasi Digital RELA kepada anggota di daerah Serian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 4:56 PM