SESUAI karakter sebenar Emelie.
SESUAI karakter sebenar Emelie.
Syafil Syazwan Jefri


Yakin dengan rezeki ditetapkan Allah SWT pelakon Emelie Hanif sabar menung­gu detik yang sesuai untuk namanya dikenali dalam bidang hiburan tanah air.

Selepas lapan tahun berada dalam industri, dia bersyukur kerana kini, kerap menerima tawaran berlakon.

“Alhamdulillah, selepas drama Dawai Asmara yang ditayangkan di TV9 dan kini di TV3, ramai yang mula membuka mata dengan bakat yang dipertaruhkan. Itu adalah drama pertama saya memegang watak utama.

“Dalam drama itu, saya memegang watak jahat bernama Shiera. Saya tidak memilih watak. Apa yang ditawarkan, saya ambil dan cuba lakonkan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut pelakon yang digilap daripada program realiti Pilih Kasih ini, dia tidak kecewa apabila melihat rakan-rakan lain lebih popular dan berjaya berbanding dirinya.

“Saya tidak kecewa kerana rezeki itu ketentuan Tuhan. Apa yang boleh saya lakukan adalah teruskan usaha dan saya yakin, bila ada rezeki, orang akan nampak bakat dan kebolehan saya,” katanya.

Dia yang sangat akrab dengan pelakon Zulin Aziz ini mengakui sering menerima nasihat daripada pelakon berkenaan.

“Zulin teman serumah saya. Kerap juga dia memberikan semangat kepada saya supaya tidak berputus asa.

“Zulin sendiri bermula daripada bawah. Apa yang Zulin sering berpesan kepada saya adalah supaya menjaga disiplin,” katanya.

Ditanya mengenai watak yang ingin dicubanya, Emelie selesa membawa watak gila-gila.

“Karakter sebenar saya memang gila-gila. Jadi, lebih mudah kerana saya menjadi diri sendiri.

“Selain itu, saya juga ingin mencuba melakonkan watak aksi seperti Angelina Jolie dalam filem Lara Croft. Nampak mencabar dan menyeronokkan,” katanya.

Terbaru, Emelie kini menjalani penggambaran untuk drama bersiri Akadku Yang Terakhir.

“Untuk drama 30 episod ini, saya bergandingan dengan beberapa pelakon lain antaranya Tiz Zaqyah, Amar Baharin dan Mardiana Ali. Selain itu, satu lagi drama lakonan saya berjudul Kopi Sentul Mocha Santorini kini ditayangkan di TV1.

“Saya harap, kehadiran saya diterima dengan baik selepas ini dan lakonan saya lebih membuka mata ramai pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 12:14 PM